SINGAPURA 28 Sept. – Singapura menghantar 122,400 dos vaksin Covid-19 AstraZeneca ke Thailand dalam membantu usaha negara itu mengatasi Covid-19.
Menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA), sumbangan kepada Thailand itu juga termasuk 200,000 ujian diagnostik dan 500,000 ujian swab hidung.
MFA dalam satu kenyataan, berkata, Singapura dan Thailand adalah teman rapat dengan hubungan dua hala yang terjalin kukuh dan lama.
“Sumbangan kami mengukuhkan komitmen kedua-dua negara untuk mengharungi pandemik ini bersama,” kata MFA.
Duta Singapura di Bangkok Kevin Cheok menyerahkan bekalan itu kepada Timbalan Perdana Menteri Thailand merangkap Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul pada Isnin.
Pada bulan lalu, Thailand menyatakan ia ingin meminjam 150,000 dos vaksin AstraZeneca dari Bhutan di tengah-tengah kekurangan bekalan di negara itu.
