1,647 kes baharu di Singapura

SINGAPURA 28 Sept. – Singapura melaporkan 1,647 kes baharu Covid-19 setakat tengah hari semalam iaitu hari ketujuh berturut-turut jumlah jangkitan harian melebihi 1,000 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), dalam kalangan kes baharu itu, 1,642 adalah jangkitan tempatan merangkumi 1,280 kes dalam masyarakat dan 362 penghuni asrama pekerja.

Dalam kenyataan malam tadi, MoH juga memaklumkan sebanyak lima kes import turut dilaporkan yang menjadikan jumlah keseluruhan 89,539 kes.

Pada masa yang sama dua kematian direkodkan melibatkan dua warga emas

menjadikan jumlah keseluruhan 80 orang.

Kes pertama adalah wanita Singapura berusia 80 tahun manakala kes kedua melibatkan seorang lelaki Singapura berusia 74 tahun.

“Kedua-duanya sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 namun menghidap penyakit yang lain,” menurut MoH..

Setakat tengah hari semalam , 1,288 pesakit sedang dirawat di hospital. Kebanyakan mereka dalam keadaan baik dan sedang dipantau.

Terdapat 194 kes yang berpenyakit serius dan memerlukan bantuan oksigen dengan 27 kes dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU). Dalam kalangan mereka yang sakit teruk adalah 185 pesakit yang berusia 60 tahun dan ke atas.

Menurut MoH, sepanjang 28 hari lalu, 98 peratus kes tempatan sama ada tidak mengalami simptom atau hanya mempunyai gejala ringan.

Dalam tempoh itu juga, 382 kes memerlukan bantuan oksigen dan 41 dimasukkan ke ICU.

Dalam kalangan kes itu, 51.3 peratus sudah lengkap divaksin dan 48.7 peratus sama ada hanya menerima satu dos vaksin atau belum divaksin.

Sementara itu, kes kluster di asrama pekerja Blue Stars bertambah kepada 381 setelah 18 kes baharu dilaporkan.

Sebanyak 12 lagi kes berhubung kait kluster asrama pekerja Woodlands, kini mempunyai 176 kes.

Sementara itu, 82 peratus penduduk Singapura selesai menerima dua dos vaksin Covid-19 manakala 85 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Lebih sembilan juta dos diberikan di bawah program vaksinasi nasional, dengan lebih 4.47 juta penduduk sudah selesai menjalani rejimen vaksinasi mereka.

Sebanyak 192,119 dos vaksin lain yang diiktiraf dalam senarai kegunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diberikan, meliputi 88,524 orang. 

Related posts

Leave a Comment