SEMALAM, grup WhatsApp saya dipenuhi gambar-gambar ikan kering, telur, roti, maggi dan orang ramai beratur panjang di pasar dan pasar raya. Disebabkan ada pelbagai grup, maka berpuluh gambar yang sama masuk. Mungkin anda juga sama.
Itulah gambaran orang kita bersiap sedia menghadapi ‘tutup penuh atau lockdown’. Di atas jalan raya pun khabarnya banyak kenderaan. Bagaikan nak sambut raya.
Baguslah rakyat Malaysia amat prihatin tentang persediaan makan dan makanan. Beli lebih sikit, mana tahu ketika ‘lockdown’ nanti kita boleh bantu orang lain yang tidak berupaya menyediakan stok di rumah kerana mereka tidak mampu ‘beratur’
Tidak pasti sama ada yang ramai beratur di pasar atau pasar raya itu secara kebetulan disebabkan cuti hujung minggu atau memang tergolong dalam golongan pembelian panik untuk menyediakan stok makanan.
Melihat situasi itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Alexander Nanta Linggi menyeru semua pengguna tidak melakukan pembelian panik dan berlebihan susulan pelaksanaan “Total Lockdown” Fasa Pertama bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021.
“Kementerian yakin dan memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan di seluruh negara masih stabil dan mencukupi semasa fasa lockdown ini,” katanya.
Apa pun tujuan beratur panjang itu, yang penting patuhlah SOP – imbas MySejahtera, ambil bacaan suhu, pakai pelitup muka, bersih tangan dan jaga penjarakan fizikal. Bagi yang bergejala tolonglah duduk di rumah.
Bagi yang sedang dikuarantin atau masih ‘bergelang’ tolong jangan berkunjung ke kawasan atau lokasi sebegitu atau di mana sahaja. Jangan jadi penyumbang kluster yang menyusahkan kehidupan orang lain. Jangan jadi seperti kerbau bawa lumpur.
Amat malang jika ketika beratur dan membeli-belah itu wujud kluster baharu yang kesannya menjadi mengukuhkan rantaian Covid-19, bukan setakat premis ditutup sementara untuk pembersihan malahan lebih ramai terdedah kepada jangkitan.
Mungkin, jika situasi sebegini tidak terkawal (tumpuan beli-belah), selepas ini pembeli kena buat janji temu untuk membeli-belah (seperti dilakukan pelbagai agensi kerajaan) bagi mengelakkan kehadiran beramai-ramai secara serentak.
Tabiat orang kita, ada juga yang bersikap ‘tidak apa’, kebal sehingga tidak peduli SOP, termasuk penjarakan fizikal.
Contoh ketika beratur, jika anda dalam jarak 1 meter dari orang di hadapan, orang di belakang pula semakin merapati anda. Jika anda keluar barisan ke kiri atau kanan (jika ada ruang) bagi mencapai jarak 1 meter daripada orang belakang, dia pula semakin rapat memasuki barisan.
Sikap tidak faham atau memang sengaja berbuat demikian amat menyedihkan. Mungkin mereka tidak faham kenapa begitu penting mematuhi SOP yang digariskan lebih-lebih lagi dengan kehadiran varian yang ketika ini amat pantas merebak.
Dalam situasi pandemik hari ini, kawalan kendiri untuk mengelakkan terkena jangkitan amat penting. Waktu dan saat ini, pengabaian terhadap SOP boleh menjerumuskan diri ke dalam kluster atau mana-mana kelompok.
Mungkin waktu sihat, kita sanggup beratur panjang dan lama di pasar, pasar raya atau di sekatan jalan raya. Tetapi apabila sakit sanggupkah anda beratur menunggu kemasukan di pusat kuarantin, di bahagian kecemasan untuk mendapatkan rawatan, menunggu katil kosong di ICU malahan di kaunter farmasi?
Itu belum kira bilik mayat yang kini terpaksa menggunakan kontena.
Apa pun penyakit anda, pastinya ‘masuk’ hospital ketika ini akan menjadi detik yang mengerikan. Barisan hadapan sudah letih untuk terus ‘melayan kerenah’ kita walaupun mereka setakat ini masih mengutamakan ‘kesihatan awam dan menyelamatkan nyawa’.
Justeru seperti kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah: “Dalam mengimbangi nyawa dan kehidupan (life and livelihood), adalah penting untuk semua pihak sentiasa meneliti semula keutamaan mereka mengikut keadaan semasa,”
Harus diberi perhatian juga ingatan beliau : “Apabila kes aktif Covid-19 melebihi kemampuan dan kapasiti kami untuk merawat, maka para doktor akan terpaksa membuat pilihan sukar untuk mengutamakan katil ICU bagi pesakit yang mempunyai potensi sembuh yang lebih tinggi berbanding pesakit yang potensi sembuhnya adalah lebih rendah (poor prognosis),”.
Justeru, siapa pun kita sama ada digelar marhaen atau kayangan, bantulah barisan hadapan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Buatlah keputusan dan pilihan terbaik demi rakyat dan negara.
Covid-19 bukan lagi soal orang lain tetapi diri sendiri dan keluarga. Kealpaan diri dan keluarga akan menjejaskan orang lain. Ingatlah waktu ini nilai kesihatan amat penting. Wang mungkin bukan segala-galanya apabila kesihatan kita terjejas ketika sistem kesihatan pula lumpuh.
