KOTA KINABALU 3 Mac – Keputusan mengekalkan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang melompat parti mungkin membuka peluang kepada wakil rakyat Warisan lain mengambil tindakan yang sama.
Ini berikutan surat ‘peletakan jawatan’ yang ditandatangani semasa mendapat tauliah calon tidak terpakai atau terbatal apabila ADUN itu menarik balik ‘peletakan jawatan’ melalui akuan bersumpah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir kekal wakil rakyat bebas, menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Kadzim M Yahya membuat keputusan mengekalkan kedudukan Hassan setelah meneliti dokumen-dokumen yang telah dihantar daripada kedua-dua pihak.
“Sebab mengikut undang-undang yang kita ada sekarang, apa-apa peletakan jawatan yang pre-signed dan undated (tidak bertarikh) adalah batal.
“Jadi mengambil kira kedudukan undang-undang yang ada sekarang mengenai undated, pre-signed letter of resignation. Maka saya mengambil keputusan bahawa kawasan DUN Sebatik masih kekal, tidak kosong,” katanya.
Tambahnya, beliau tidak mahu membincangkan soal perjanjian ADUN Sebatik dengan Warisan, kerana itu adalah antara mereka.
“Tapi yang saya pertimbangkan ialah kesahihan surat peletakan jawatan yang tidak bertarikh itu, mengikut undang-undang yang ada sekarang. Bagi saya surat itu tidak efektif, maka tidak ada kekosongan.
“Kalau kita ambil kira kenyataan-kenyataan daripada Presiden Warisan dan Setiausaha Agung, mereka sendiri mengakui bahawa semua calon mereka telah menandatangani perakuan, jadi kalau ada tarikh 26 Februari, macam mana pula daripada bulan September dulu dia boleh tetapkan 26 Februari untuk letak jawatan. Di mana logiknya?,” katanya.
Jelasnya, beliau telah menerima dua dokumen yang telah dihantar oleh kedua-dua belah pihak ke Pejabat Speaker, kelmarin.
“Yang pertama saya terima ialah, dokumen akuan bersumpah menarik balik dan membatalkan surat peletakan jawatan ADUN Sebatik yang dia telah dikatakan menandatangani semasa menjadi calon pilihan raya yang lepas,” katanya.
Dokumen tersebut katanya telah diserahkan oleh ADUN Sebatik itu sendiri pada 11.45 pagi kelmarin.
“Selepas itu, pada jam 12.15 tengah hari, di mana satu dokumen disampaikan oleh Setiausaha Agung Warisan, kepada pembantu saya, bukan kepada saya sendiri, iaitu surat peletakan jawatan ADUN Sebatik,” katanya lagi.
Hassan A Gani pada 25 Februari lalu memaklumkan beliau kini ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta kepemimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Hajiji Noor.
Mohd Shafie pada Isnin memberitahu, Warisan sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Hassan A Gani.
Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada September tahun lepas, Hassan A Gani memenangi kerusi DUN Sebatik atas tiket Warisan dalam persaingan tujuh penjuru dengan memperoleh 2,665 undi.
