IPOH 16 Nov. – Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman, 63 meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Raub, Pahang kira-kira pukul 6.40;petang ini.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik, Aznel Ibrahim mengesahkan perkara tersebut selepas dimaklumkan isteri Allahyarham.
Allahyarham mengalami serangan jantung pada pukul 6.30 petang ketika dalam perjalanan ke Kuala Lipis selepas menghadiri sidang Dewan Rakyat pagi ini.
Menurut laporan awal, Allahyarham dikejarkan ke sebuah klinik sebelum dibawa ke Hospital Raub untuk rawatan.
Hasbullah yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Perak memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Gerik dan menjadi ahli Parlimen sejak tahun 2013 sehingga kini.
Sebelum itu, pada tahun 2008 Allahyarham pernah menjadi ADUN Temenggor selama dua penggal.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Allahyarham memperoleh 13,243 undi menang dengan majoriti 5,528 undi menewaskan pencabarnya, Mohd Dahalan Ismail dari Pas dan Ibrahim Mohd Hanafiah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pada Mei lalu, Allahyarham dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
