Aku janji pertahan institusi raja

SEREMBAN 20 Nov. – Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim menyatakan komitmen untuk memastikan seluruh anggota kerajaan negeri terus menghormati dan mempertahankan kedaulatan institusi diraja serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Ketika membacakan aku janjinya itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh juga mengakui kekhilafan dalam menerajui pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini susulan kemelut yang melibatkan institusi adat dan pentadbiran negeri.

“Saya menurunkan aku janji ini dengan memahami sepenuhnya kandungan aku janji ini dan kesannya. Ianya dibuat atas kesedaran saya yang telah khilaf dalam menerajui kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini.

“(Kini) tanggungjawab saya untuk memastikan semua anggota kerajaan negeri Sembilan terus menghormati dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan seluruh institusi diraja serta Dewan Keadilan dan Undang, selanjutnya melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di kediaman rasmi Menteri Besar di sini sejurus selesai menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap hari ini..

Dalam pada itu, Ismail memberi jaminan bersedia meletakkan jawatan sekiranya beliau atau mana-mana anggota kerajaan negeri melanggar mana-mana ketetapan dalam aku janji berkenaan.

“Justeru, sekiranya saya atau mana-mana anggota kerajaan negeri melanggar mana-mana bahagian dan perenggan kepada aku janji ini, saya berjanji akan menarik diri dan menyembah maklum surat peletakan jawatan dengan cara yang sempurna.

“Saya akan serah kepada Tuanku Muhriz bersama anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain,” tambahnya.

Aku janji itu antara lain merangkumi pengiktirafan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah, selain komitmen melaksanakan ketetapan Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

Ismail menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, Seremban sebelum memaklumkan baginda menitahkan beliau meneruskan tanggungjawab sebagai Menteri Besar demi memastikan kelancaran pentadbiran serta kepentingan rakyat negeri itu terus terpelihara.

Sementara itu, Ismail berkata pentadbiran kerajaan negeri ketika ini berdepan kekangan susulan ketiadaan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), sekali gus menyebabkan banyak urusan dan keputusan kerajaan tidak dapat dilaksanakan.

Jelasnya, keadaan itu berlaku selepas anggota Exco terbabit dipecat pada 20 September lalu.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment