Kes sembuh atasi kes positif

PUTRAJAYA 23 Ogos – Kes jangkitan Covid-19 terus menunjukkan penurunan dengan 17,672 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini sebanyak 1,572,765 .

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lapan kes import melibatkan tujuh bukan warganegara dan satu warganegara manakala kes tempatan melibatkan 15,299 warganegara dan 2,365 bukan warganegara.

Setakat pukul 12 tengah hari terdapat 19,053 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 1,297,723 kes.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 8,231 kes berada dalam kategori satu atau tidak bergejala dan daripada jumlah itu 78.6 peratus tiada atau belum lengkap vaksinasi.

Selain itu, 9,005 kes yang dikesan berada dalam kategori dua iaitu bergejala ringan dan daripada jumlah itu 83.1 peratus tiada atau belum lengkap vaksin. Sebanyak 190 kes dalam kategori tiga (mempunyai radang paru-paru) atau 84.7 peratus tiada atau belum lengkap vaksin.

Sejumlah 108 kes lagi berada dalam kategori empat iaitu memerlukan bantuan oksigen dengan 88.9 peratus tiada atau belum lengkap vaksin serta 138 kes dalam kategori lima iaitu dalam keadaan kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan. Daripada jumlah kategori lima itu, 87.7 peratus tiada atau belum lengkap vaksin.

Mengenai 174 kes kematian yang dilaporkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 21 kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) dicatatkan iaitu 14 kes dalam kalangan warganegara serta tujuh lagi warga asing.

Buat pertama kalinya kes kematian tertinggi dilaporkan di Johor dengan 53 kes, diikuti Pulau Pinang (28), Sabah (25), Negeri Sembilan (11), masing-masing sembilan kes di Kuala Lumpur, Kedah dan Kelantan, masing-masing tujuh kes di Selangor dan Pahang, Melaka (enam), Perak (empat) serta masing-masing tiga di Sarawak dan Perlis.

Related posts

Leave a Comment