Agong titah utamakan keselamatan murid

PKUALA LUMPUR 8 Okt. – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini, menasihatkan penutupan sekolah di kawasan terjejas jerebu terutamanya yang mencatatkan tahap Indeks Pencemar Udara (IPU) antara 150 dan 180 secara berpanjangan.

Seri Paduka Baginda bertitah, Kementerian Pendidikan (KPM) mesti memberi perhatian serius dalam menghadapi situasi jerebu yang melanda negara ketika ini,  dengan mengutamakan keselamatan dan kesihatan murid.

“Langkah sewajarnya perlu diambil oleh kementerian dan agensi berkenaan bagi melindungi murid dan pelajar, termasuk warga emas serta pesakit respiratori,” titah Seri Paduka Baginda menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Sultan Ibrahim pada masa sama menasihati orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjaga kesihatan serta mengamalkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan sebarang aktiviti luar susulan keadaan jerebu.

Semalam, atas titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, Johor mengumumkan penutupan sekolah selama dua hari susulan keadaan jerebu serta kemerosotan kualiti udara di seluruh negeri terbabit.

Terdahulu setakat pukul 8.40 pagi, sebanyak 38 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara merekodkan bacaan tidak sihat, dengan Segamat di Johor mencatat bacaan tertinggi iaitu 186 diikuti Nilai di Negeri Sembilan mencatat bacaan 183.

Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) menunjukkan baki 30 stesen merekodkan bacaan sederhana, manakala tiada stesen mencatat bacaan dalam kategori baik atau sangat tidak sihat.

Related posts

Leave a Comment