PETALING JAYA – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Presiden Bersatu terpilih sebagai salah seorang Naib Presiden Bersatu dalam pemilihan yang berlangsung Sabtu lepas.
Dua penyandang sebelum ini, Dr Radzi Jidin dan Dr Ronald Kiandee mempertahankan jawatan masing-masing bagi penggal 2024-2027.
Mereka menewaskan tiga calon lain, iaitu Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris; Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Mohd Rafiq Mohd Abdullah dan Ketua Bahagian Bersatu Batu Kawan, A’ziss Zainal Abiddin.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Abdul Azim Mohd Zabidi di ibu pejabat Bersatu di sini, hari ini.
Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya memperoleh 11,690 undi manakala Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran mendapat 11,295 dan Ahmad Faizal dengan 9,278 undi.
Abdul Azim turut mengumumkan secara rasmi kemenangan Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dan Hamzah Zainuddin sebagai Timbalan Presiden, masing-masing menang tanpa bertanding bagi jawatan berkenaan.
Dalam pada itu beliau turut mengumumkan senarai nama 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang menang pada pemilihan itu, daripada 80 calon yang bertanding.
Antara mereka yang mendapat tempat dalam MPT ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).
Beberapa ‘nama besar’ yang gagal adalah bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Roslan Hashim dan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.
Sebanyak 169 bahagian bersidang pada Sabtu lalu, dengan 74 bahagian menjalankan pemilihan di peringkat bahagian, manakala baki 95 bahagian mencatatkan kemenangan tanpa bertanding bagi semua jawatan.
Seramai 29,717 perwakilan (61 peratus) mengundi pada pemilihan berkenaan.
Abdul Azim berkata, JPP menerima 31 aduan dan bantahan dalam tempoh yang dibenarkan.
“Asas aduan dan bantahan adalah pelbagai, antara lain berkaitan peraturan persidangan, tatacara pemilihan, keabsahan perwakilan, prosedur pengeluaran kertas undi dan prosedur pengiraan undi.
“JPP Pusat membuat keputusan yang sewajarnya mengikut bidang kuasa yang dimiliki JPP, selaras dengan peruntukan perlembagaan parti,” katanya.
Berikut barisan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU 2024-2027
Pengerusi Tetap
– Datuk Mohd Suhaimi Abdullah
Timbalan pengerusi tetap
– Mohd Hanafiah Hamzah
Presiden
– Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Presiden
– Datuk Seri Hamzah Zainudin
Naib Presiden
-Datuk Dr Radzi Jidin
-Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
-Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Ahli MPT
– Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz
– Datuk Zainol Fadzi Paharudin
– Datuk Wan Saiful Wan Jan
– Mohd Taufik Yaacob
– Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
– Mohamad Hanifah Abu Baker
– Muhammad Affan Jumahat
– Datuk Dr Sahruddin Jamal
– Mohd Yadzil Yaakub
– Datuk Seri Saifuddin Abdullah
– Datuk Rosol Wahid
– Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi
– Dr Afif Bahardin
– Abu Bakar Hamzah
– Mohd Yazid Mohd Yunus
– Zulkifli Bujang
– Yunus Nurdin
– Lim Ting Khai
– Datuk Asmawi Harun
– Datuk Muhamad Yadzan Mohammmad
Ketua Armada – Muhammad Hilman Idham
Ketua Srikandi – Datuk Mas Ermieyati Samsudin
