Presiden Serbia letak jawatan

BELGRADE – Presiden Serbia, Aleksandar Vucic, meletak jawatan selepas lebih setahun berdepan protes besar-besaran yang diterajui pelajar susulan dakwaan rasuah dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap pentadbirannya.

Berucap kepada penyokong di hadapan bangunan presiden di Belgrade, Vucic berkata pentadbirannya berjaya mengekalkan keamanan dan kestabilan sepanjang sembilan tahun beliau menerajui negara itu.

Jun lalu, Vucic mengumumkan hasrat untuk melepaskan jawatan dan kini dijangka menjadi calon perdana menteri bagi Parti Progresif Serbia yang diterajuinya sejak lebih sedekad lalu dalam pilihan raya parlimen yang akan datang.

Perlembagaan Serbia tidak membenarkannya bertanding untuk penggal ketiga sebagai presiden.

Gelombang protes terhadap kerajaan tercetus susulan tragedi bumbung stesen kereta api Novi Sad yang runtuh pada 2024 sehingga mengorbankan 16 nyawa.

Insiden itu mencetuskan kemarahan rakyat yang mendakwa ia berpunca daripada kelemahan tadbir urus dan amalan mengabaikan aspek keselamatan.

Protes yang melibatkan pelajar, guru, pekerja dan petani berterusan sepanjang tahun ini, malah bertukar tegang selepas timbul dakwaan penggunaan kekerasan oleh polis terhadap penunjuk perasaan.

Menurut perlembagaan negara itu, pilihan raya presiden perlu diadakan dalam tempoh tidak melebihi tiga bulan selepas peletakan jawatan presiden.

Vucic berkata pilihan raya presiden akan berlangsung lebih sebulan selepas pilihan raya parlimen mengejut yang dijadualkan pada akhir Oktober.

Sebelum berundur, Vucic turut menggunakan kuasa perlembagaannya untuk memberikan pengampunan kepada 49 individu, termasuk 23 pelajar dan beberapa penyokong partinya yang disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan berkaitan siri kejadian sepanjang satu setengah tahun kebelakangan ini.

Pilihan raya parlimen akan menyaksikan saingan antara Parti Progresif Serbia pimpinan Vucic dengan gerakan antirasuah diterajui pelajar, “Students Win”, serta gabungan parti pembangkang pro-Barat yang dikenali sebagai “European Serbia”.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment