Risiko batal, PN cabar keputusan RoS

SEPANG 24 Sept. – Perikatan Nasional (PN) akan mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menggantung kegiatan gabungan itu serta cadangan membatalkan pendaftarannya selepas tempoh tunjuk sebab selama 30 hari.

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, yang mengesahkan PN menerima notis bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 tidak bersetuju dengan asas keputusan berkenaan dan sedang mengambil langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, notis itu memberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan sebab mengapa pendaftaran PN tidak wajar dibatalkan.

“PN mengambil maklum keputusan RoS, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut dan sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangannya yang didokong oleh ahli-ahli dan penyokongnya.

PN tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap PN adalah natijah agenda berniat jahat (mala fide) dan tekanan politik yang memangsakan PN daripada pihak-pihak dari dalam dan luar PN.

“PN mengambil maklum keputusan RoS di atas, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan itu dan sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia.

Ini demi mempertahankan matlamat penubuhan serta agenda perjuangan PN yang didukung oleh ahli-ahli dan penyokongnya,” katanya.

Terdahulu, RoS dilapor mengesahkan semua kegiatan PN kini digantung, berkuat kuasa semalam dan tindakan itu dibuat mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) susulan notis dikeluarkan kepada PN pada 22 September lalu.

Notis  terbabit meminta PN memberi penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan Bersatu kepada jabatan itu.

Menerusi kenyataan itu, Takiyuddin mengesahkan cadangan pembatalan pendaftaran berkenaan terkait dengan aduan daripada Bersatu terhadap PN berhubung suatu mesyuarat bertarikh 16 Julai lalu.

Katanya, PN turut menerima suatu perintah bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 yang memerintahkan penggantungan semua kegiatan gabungan itu hingga tarikh yang tidak ditentukan.

Beliau berkata, kedua-dua notis dan perintah berkenaan diserahkan kepada PN masing-masing pada 22 dan 23 September lalu.

Sehubungan itu, PN menyeru ahli-ahli dan penyokong agar bertenang kerana perkara ini sedang diuruskan dengan sebaik-baiknya.

“PN akan memberikan maklumat dan dokumen berkaitan kepada masyarakat secara telus serta memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.

“PN sekali gus mengeluarkan perintah larangan (gag order) berkuat kuasa serta-merta kepada mana-mana pihak daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi pihak PN, kecuali Pengerusi dan Setiausaha Agung PN,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment