Apakah ancaman keselamatan pertemuan

SEPANG 23 Sept. – Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail wajar menjelaskan kepada rakyat apakah arahan yang diberikan kepada polis berhubung keadaan keselamatan di Negeri Sembilan susulan pembatalan Majlis Menghadap Sembah Takzim bersama Tunku Nadzaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali ketika menuntut penjelasan itu mempersoalkan apakah , ancaman keselamatan yang menyebabkan Menteri Besar  Ismail Lasim bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak dapat menghadiri pertemuan tersebut.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pejuang, berkata, rakyat berhak bertanya adakah benar polis menghalang pertemuan tersebut, jika benar, siapa yang memberikan arahan dan apakah peruntukan undang-undang yang digunakan.

“Soalan-soalan ini perlu dijawab dengan fakta dan undang-undang oleh Menteri Dalam Negeri. Bukan dengan kuasa semata-mata,” katanya dalam satu hantaran di media sosial..

Katanya, Mahkamah Persekutuan telah menegaskan kedudukan Perlembagaan mengenai hak berhimpun secara aman di mana Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang menghukum kegagalan memberikan notis lima hari kepada polis telah diputuskan tidak berperlembagaan.

Beliau berkata, hak berhimpun secara aman bukan hadiah daripada polis sebaliknya

ia hak yang dijamin oleh Perlembagaan, tertakluk kepada sekatan yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang.

“Sudah tentu polis mempunyai tanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Tapi “keselamatan” tidak sepatutnya jadi perkataan ajaib yang tamatkan semua pertanyaan mengenai punca kuasa.

Kalau ada ancaman, nyatakan asas tindakan. Kalau ada peruntukan undang-undang, nyatakan peruntukannya. Kalau ada arahan, jelaskan siapa yang mengeluarkannya dan atas kapasiti apa.

Lebih-lebih lagi bilamana Negeri Sembilan sedang berhadapan dengan pertikaian perlembagaan yang serius,” katanya.

Tegasnya, siapa Yang di-Pertuan Besar yang sah bukan untuk diputuskan oleh anggota polis dalam sekatan jalan raya atau Menteri Dalam Negeri melalui kuasa pentadbiran sebaliknya ditentukan menurut Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan proses perlembagaan yang sah.

Katanya, Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan sendiri meletakkan jaminan Persekutuan terhadap hak perlembagaan Raja dan, dengan pengubahsuaian yang perlu, Ruling Chiefs Negeri Sembilan, atau lebih dikenali sebagai Undang Luak.

Justeru tindakan institusi Persekutuan dalam keadaan seperti ini mesti kelihatan berkecuali dan mempunyai asas undang-undang yang jelas.

Beliau bertanya, adakah PDRM diarahkan semata-mata menjaga keselamatan atau adakah tindakan penguatkuasaan telah mempunyai kesan menentukan pihak mana dalam pertikaian perlembagaan Negeri Sembilan yang boleh menjalankan urusan mereka

Katanya, PDRM dan agensi penguatkuasaan bukan alat mana-mana individu, institusi atau kepentingan politik sebaliknya institusi negara yang perlu bertindak menurut undang-undang.

“Kuasa tanpa punca kuasa bukan rule of law. Itu undang-undang rimba. Keselamatan tanpa akauntabiliti tidak boleh jadi jawapan kepada setiap persoalan Perlembagaan. Menteri Dalam Negeri dan PDRM  perlu jelaskan pada rakyat.

Bukan kerana mahu mencabar polis tetapi mempertahankan polis sebagai institusi yang dihormati. Dalam negara berperlembagaan, bukan rakyat saja yang mesti mematuhi undang-undang, yang memegang kuasa juga wajib mematuhinya,” katanya.

Nnnnnn

Related posts

Leave a Comment