RCI TH: Prosiding pertama PAC bermula

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini memulakan prosiding pertama berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) bagi meneliti pelaksanaan syor penambahbaikan yang digariskan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata prosiding pertama yang berlangsung hampir empat jam itu memanggil Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), selaku pihak kementerian yang mengawal selia TH, Ketua Pegawai Eksekutif TH dan pengurusan kanan lembaga berkenaan.

Beliau berkata prosiding itu bertujuan mendapatkan penjelasan rasmi dan perkembangan terkini mengenai pelaksanaan syor dalam Laporan RCI bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi TH dari 2014 hingga 2020, yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Ogos lepas.

“Ini termasuk isu berkaitan kawal selia kerajaan ke atas TH serta pengurusan, tadbir urus dan kewangan TH terutama dalam memastikan kemampanan operasinya untuk jangka panjang di sebalik ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PAC juga akan memanggil semula saksi yang hadir hari ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut, selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta wakil Kementerian Kewangan, agensi di bawah JPM dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd.

Mas Ermieyati berkata semua saksi berkaitan akan dipanggil sebelum PAC membentangkan penyatanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata PAC sedang memuktamadkan beberapa penyata termasuk berhubung pengurusan perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah menerusi sistem e-Jamin, kutipan hasil yuran dan perbelanjaan Universiti Kebangsaan Malaysia, pelaksanaan Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi negara serta Pelaburan Hartanah Berhad.

“PAC akan terus melaksanakan peranan semak dan imbang ini selaras dengan fungsi terasnya demi memastikan akauntabiliti TH khususnya dan kerajaan secara amnya sekali gus mengukuhkan semula keyakinan jutaan pendeposit terhadap TH selaku institusi ulung yang menguruskan dana deposit haji jutaan rakyat Malaysia,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment