KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jamil Khir Baharom, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan aset bernilai lebih RM860.3 juta antara 2015 hingga 2017.
Jamil, 65 yang juga bekas Ahli Parlimen Jerai membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Jamil Khir didakwa menyebabkan TH melupuskan wang berjumlah RM860,308,770.51, bersamaan SAR766,062,237, kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd.
Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa menyebabkan TH melupuskan wang berjumlah RM42,942,074, bersamaan SAR44.17 juta.
Pertuduhan kedua membabitkan RM288,172,134.64, bersamaan SAR250,041,622, manakala pertuduhan ketiga membabitkan RM529,194,561.87, bersamaan SAR471,848,615.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabatnya di Bahagian Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kompleks Islam Putrajaya, masing-masing pada 3 April 2015, 14 Disember 2016 dan 17 Ogos 2017.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, peruntukan itu membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan berhujah, walaupun pertuduhan berkenaan adalah kesalahan yang boleh dijamin, mahkamah perlu mengambil kira keseriusan kesalahan, skala kewangan dan risiko berkaitan kes itu ketika menetapkan jumlah jaminan.
Beliau berkata jumlah keseluruhan ketiga-tiga pertuduhan membabitkan kira-kira RM860 juta.
Sehubungan itu, katanya pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin warga Malaysia serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Sementara itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Jamil Khir, memohon mahkamah menetapkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin.
Katanya, tujuan jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh dan pihak pendakwaan tidak mengemukakan bukti Jamil Khir berisiko gagal hadir pada prosiding akan datang atau perbicaraan.
Beliau berkata, Jamil Khir juga bersedia menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sebagai jaminan tambahan beliau akan hadir apabila diperlukan.
“Yang Arif, anak guam saya tidak mempunyai sumber pendapatan lain. Satu-satunya sumber pendapatan yang beliau ada ialah pencennya sebagai bekas menteri serta pencen sebagai bekas Mejar Jeneral tentera.
“Maka dalam keadaan ini, Yang Arif, jumlah RM300,000 dengan seorang penjamin, berserta pasport ditahan adalah mencukupi untuk menjamin kehadiran beliau ke mahkamah,” katanya.
Hakim Rosli kemudian membenarkan Jamil Khir diikat jamin RM300,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin warga Malaysia.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya pasport Jamil Khir disimpan di mahkamah 5 November ini untuk sebutan semula kes.
Nnnnn
