SANAA: Pejuang Houthi di Yaman mendakwa melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke pangkalan tentera Sharurah, selatan Arab Saudi menyasarkan depot senjata serta pusat arahan dan kawalan yang menguruskan pencerobohan terhadap negara dan rakyat mereka.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, melalui hantarannya di X bagaimanapun, tidak menyatakan tarikh operasi berkenaan, ketika pertempuran antara Houthi yang bersekutu dengan Iran dan pasukan kerajaan Yaman yang mendapat sokongan Riyadh semakin meningkat minggu ini.
Pada Sabtu, pasukan kerajaan mendakwa melancarkan serangan terhadap pejuang Houthi di bandar Mocha di pesisir Laut Merah, sebelum menyerang beberapa lagi kedudukan Houthi di bahagian barat daya negara itu.
Angkatan Udara Angkatan Tentera menyasarkan kedudukan dan berek kumpulan pengganas Houthi dengan tiga serangan udara” di wilayah Taiz, menurut tentera Yaman dalam hantaran di X pada Ahad.
Sementara itu, menurut Menteri Ekonomi dan Kewangan Djibouti, Ilyas Moussa Dawaleh, kira-kira 1,400 orang melarikan diri dari Yaman ke Djibouti susulan pertempuran antara pasukan kerajaan dengan kumpulan Houthi, Sabtu lalu.
Djibouti ialah negara kecil yang bersempadan dengan Selat Bab el-Mandeb di pintu masuk Laut Merah dari Teluk Aden.
Houthi menguasai sebahagian besar utara Yemen, termasuk ibu negara Sanaa dan Hodeida di barat.
Mereka mara di sepanjang pantai dalam tempoh beberapa hari lalu sebelum menawan bandar pelabuhan Mokha, Khamis lalu.
Sejak itu, Houthi menguasai kawasan pantai serta beberapa pulau di Laut Merah, selain memperkukuh kawalan terhadap Selat Bab el-Mandeb, laluan perdagangan global melalui Terusan Suez.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 76,000 orang kehilangan tempat tinggal di Yaman sejak Julai, dengan jumlah itu meningkat empat kali ganda dalam tempoh hanya seminggu berikutan pertempuran terbaharu.
Minggu lalu, pejuang Houthi melancarkan serangan baharu terhadap pasukan kerajaan yang disokong Arab Saudi, dengan menyasarkan kawasan berhampiran Selat Bab el-Mandeb.
Nnnn
