Hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Kepemimpinan UMNO menyerahkan kepada perwakilan untuk membahaskan secara terbuka hala tuju parti dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk sama ada meneruskan kerjasama atau memilih pendekatan lain pada masa depan.

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata UMNO tidak akan menghalang pembahas menyuarakan perkara itu kerana mereka mewakili akar umbi dan dipilih badan perhubungan negeri masing-masing.

“Kita terbuka kepada apa juga akan dibahaskan dan diputuskan nanti. Kita tidak pernah dan tidak akan menghalang pembahas menyuarakan perkara itu.

“Cawangan UMNO mengangkat usul ke bahagian dan proses terbabit berlangsung enam bulan lalu. Apa yang dibangkitkan bukan isu individu, tetapi suara akar umbi dari cawangan, bahagian dan negeri.

Tidak wajar kepemimpinan mengehadkan apa yang perlu, yang boleh dan tidak boleh,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hala tuju kerjasama politik parti dalam kerangka Kerajaan Perpaduan dan agenda Rumah Bangsa menjadi dua agenda utama yang bakal mendominasi perbahasan kerana telah dibincangkan di cawangan dan bahagian untuk dibahaskan.

“Dua usul paling popular diterima daripada bahagian kali ini ialah soal hala tuju dan kerjasama politik UMNO khususnya dalam kerangka Kerajaan Perpaduan serta agenda Rumah Bangsa yang digagaskan pada perhimpunan lalu,” katanya.

PAU 2026 bakal berlangsung selama empat hari mulai 9 hingga 12 September di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang dijangka dihadiri 6,401 perwakilan daripada 157 bahagian.

Perhimpunan tahunan itu bermula dengan sesi Taklimat Presiden pada 9 September, diikuti Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri pada sebelah malam.

Perhimpunan agung bagi ketiga-tiga pergerakan itu akan berlangsung sehari pada 10 September ini. Ia diikuti perhimpunan utama pada 11 dan 12 September ini.

Related posts

Leave a Comment