Semua pembahas mahu DAP kekal

PUTRAJAYA 16 Ogos  – Semua 14 pembahas dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2026 mahu parti itu terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal Parlimen ke-16.

Pembahas antara lain mengingatkan DAP supaya tidak menghukum keseluruhan Kerajaan Perpaduan hanya kerana satu peratus kekalahan pada Pilihan Raya Negeri dan jika keluar, DAP mungkin hanyw mendapat ruang untuk menjerit dan mengkritik.

Justeru pembahas meminta perwakilan untuk terus memberikan sokongan supaya DAP meneruskan kerjasama dalam kerajaan pimpinan Anwar

Persidangan khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu diadakan bagi membentangkan usul dalam menentukan sama ada DAP akan terus kekal atau menarik diri daripada blok pentadbiran sehingga tamat penggal Parlimen ke-16.

Usul berkenaan dibawa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Lebih 4,200 perwakilan DAP akan mengundi bagi menentukan sama ada parti itu patut kekal dalam kerajaan Persekutuan hingga tamat penggal Parlimen semasa atau sebaliknya.

Antara pemimpin DAP yang hadir ialah Penasihatnya, Lim Guan Eng; Pengerusi Kebangsaan, Gobind Singh Deo dan pemimpin veteran, Lim Kit Siang.

Terdahulu Loke berkata, DAP akan terus melaksanakan perubahan serta reformasi yang dijanjikan sekiranya diberi peluang oleh lebih 4,200 perwakilan untuk terus berada dalam Kabinet sehingga tamat penggal Kerajaan Perpaduan.

Loke, berkata sebagai parti yang berada dalam kerajaan, perwakilan DAP perlu memahami bahawa sebarang kekangan dan kelemahan termasuk keputusan tidak popular dilaksanakan pentadbiran, perlu turut ditanggung parti itu secara bersama.

Beliau berkata, DAP turut mengakui berdepan pelbagai cabaran sejak berada dalam kerajaan sehingga mendapat pelbagai kritikan selain ada yang bertindak memprotes parti itu walaupun sudah melaksanakan yang terbaik.

Katanya, atas dasar itu perwakilan dilihat perlu membuat pilihan yang sukar sama ada meletakkan kepimpinan DAP sebagai backbencher dalam kerajaan atau kekal berkhidmat dalam Kabinet.

Kita berbincang dalam Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dan memutuskan supaya menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan sama ada parti terus berada dalam kerajaan Persekutuan atau sebaliknya.

“Ini kerana sudah tentu apabila kita berada dalam kerajaan, ada kekangan dan kelemahan yang perlu kita tanggung secara bersama. Apa-apa keputusan kerajaan yang tidak popular sudah tentu sebagai parti yang berada dalam kerajaan, kita perlu tanggung secara bersama.

Jadi sudah tentu ada pelbagai cabaran dan masalah yang perlu kita hadapi di mana kita mendapat pelbagai kritikan, pandangan malah ada yang memprotes terhadap kita,” katanya.

Loke berkata, sama ada pimpinan DAP kekal atau tidak dalam Kabinet, parti itu akan terus memperjuangkan perubahan melalui kapasiti yang ada walaupun sebagai backbencher.

Namun, katanya, jika perwakilan mahu DAP terus kekal dalam Jemaah Menteri, pimpinan parti akan terus cuba membawa perubahan dan reformasi yang dijanjikan.

“Jadi pada hari ini kita nak tentukan sama ada hala tuju kita kekal dalam kerajaan sehinggalah tamat tempoh untuk terus kita melaksanakan tugas kita, cuba untuk kita pengaruhi dan juga membawa perubahan dan reformasi-reformasi yang kita janjikan.

“Atau kita memainkan peranan sebagai pressure group dalam kerajaan iaitu kembali kepada backbencher saja,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment