KOTA KINABALU 7 Ogos – Timbalan Ketua Menteri Sabah, Dr Joachim Gunsalam menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi tempoh 2026-2029, selepas memangku jawatan itu sejak tiga tahun lalu.
Jawatan Timbalan Presiden juga dimenangi tanpa bertanding iaitu Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Joniston Bangkuai dan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Ruslan Muharam.
Dr Joachim memangku jawatan Presiden PBS selepas penyandang jawatan itu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyerahkan tugas mentadbir parti kepada beliau atas sebab kesihatan pada Jun 2024.
Setiausaha Agung selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PBS, Julita Majungki, mengumumkan kemenangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, ADUN Kiulu dan ADUN Lumadan itu menerusi satu kenyataan.
Mereka memenangi jawatan itu selepas pencalonan bagi pemilihan PBS pada tahun ini ditutup pada 31 Julai lalu.
Dr Joachim adalah satu-satunya calon Presiden PBS ketika pencalonan parti ditutup, begitu juga Joniston satu-satunya calon bagi jawatan Timbalan Presiden di bawah kuota bukan Islam dan Ruslan bagi kuota Bumiputera Islam.
PBS mempunyai tiga kuota Timbalan Presiden, masing-masing bagi kuota Bumiputera bukan Islam, Bumiputera Islam dan Cina atau bukan Bumiputera.
Menurut Julita, Dr Joachim dan Joniston adalah calon tunggal yang menerima pencalonan mencukupi untuk melayakkan diri dalam pemilihan parti kali ini manakala Ruslan menang selepas seorang lagi calon hanya menerima satu pencalonan.
Calon perlu mendapat minimum tiga pencalonan bagi melayakkan mereka bertanding pada pemilihan parti.
Bagi jawatan Timbalan Presiden di bawah kuota Cina, dua calon layak bertanding iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Lo Su Fui dan Ahli Majlis Tertinggi PBS, Goon Thien Shang.
Tiga pencalonan diterima bagi dua jawatan Naib Presiden Bumiputera bukan Islam, iaitu ADUN Tandek, Hendrus Anding; ADUN Telupid, Jonnybone J Kurum dan penyandangnya, Johnny Mositun.
Katanya, enam calon pula layak bertanding bagi jawatan Naib Presiden kuota Bumiputera Islam, manakala lima calon bagi jawatan sama di bawah kuota Cina.
Bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi kuota Bumiputera bukan Islam, sebanyak 28 calon layak manakala 23 calon bagi Bumiputera Islam dan 15 calon bagi kuota Cina.
Menurut Julita, terdapat tujuh kekosongan Ahli Majlis Tertinggi bagi Bumiputera bukan Islam, lima bagi Bumiputera Islam dan empat bagi kuota Cina.
Julita berkata, sebanyak 79 pencalonan diterima untuk semua jawatan yang dipertandingkan pada pemilihan PBS dengan lebih separuh daripada mereka bertanding kali pertama.
Nnnn
