JOHOR BAHRU 3 Ogos – Kebangkitan gelombang ‘tsunami’ pengundi Melayu didakwa menjadi punca Pakatan Harapan (PH) kalah dalam Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan ke-16 Sabtu lalu.
Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata, ‘tsunami’ politik ity menyebabkan semua calon Melayu yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) tewas.
Katanya, beliau melihat, dalam kalangan pengundi Melayu, mereka telah memutuskan untuk kembali menyokong UMNO, Barisan Nasional (BN) dan juga Perikatan Nasional (PN).
“Jadi, ini perkara yang PH perlu ambil tahu, satu kesedaran yang sudah jelas bermula daripada PRN Johor iaitu rakyat Melayu mereka mahukan undi Melayu ini jangan berpecah.
Sebab mereka belajar dan mereka memperhatikan bagaimana masyarakat Cina mengundi dengan strategik. Mereka tak mengundi Gerakan dan MCA dalam beberapa pilihan raya yang lalu sehingga MCA tak ada tempat kecuali di Johor.
Jadi, tumpuan penuh kepada sokongan kepada DAP,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan sampan sukarelawan skuad bencana dan minum pagi bersama-sama komuniti Flat Taman Molek, di sini hari ini.
Hassan berkata, isu yang diketengahkan kempen pilihan raya Negeri Sembilan mengenai prestasi ekonomi, tatakelola dan perancangan kerajaan dipimpin kerajaan PH Negeri Sembilan tidak menjadi perhatian atau keutamaan.
Sebaliknya ia menjadi isu kedua dan ketiga kerana yang penting bagi mereka adalah semua undi Melayu tertumpu kepada satu blok sahaja supaya undi tidak berpecah.
“Sentimen penyatuan Melayu itu tidak dapat dilawan walaupun Perdana Menteri hampir setiap hari turun berkempen termasuk membawakan isu nasional seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
“Jadi, walaupun kempen kerajaan PH di peringkat negeri dan Pusat, Perdana Menteri hampir setiap hari kan (turun berkempen), tidak dapat melawan sentimen iaitu orang Melayu nak bersatu, kan? Jadi, dia tolak. Umpamanya laporan RCI Tabung Haji, bukan mereka tak anggap penting tu tapi dia tangguhkan dulu, yang penting dia nak tukar kerajaan,” katanya.
Hassan berkata, perkembangan itu menunjukkan kesedaran orang Melayu untuk tidak mahu berpecah belah dalam keadaan banyak parti Melayu ketika ini.
Katanya, perkembangan itu wajar dihormati dan PH terutamanya PKR perlu sedar akan sokongan orang Melayu dan jika mahu menang pada pilihan raya akan datang perlu memenangi hati mereka.
“Di Johor, bayangkan daripada 100 orang Melayu, hanya enam orang saja undi PKR, bermakna sekarang, apa juga kerajaan buat setakat ini, naikkan gaji kakitangan awam, bagi penyelarasan subsidi, bagi Sumbangan Tunai Rahmah, tak ada kesan pun.
“Ini bermakna parti-parti Melayu dalam PH ini, khususnya PKR dan Amanah, hampir tidak diyakini oleh masyarakat Melayu,” katanya.
Katanya, PH dan PKR perlu mendapatkan sokongan dan kepercayaan orang Melayu dalam tempoh 18 bulan ini sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan.
