KUANTAN 28 Julai – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan pandangan supaya hukuman khidmat masyarakat diperkasakan sebagai salah satu bentuk hukuman alternatif bagi kesalahan jenayah syariah.
Bagaimanapun, titah baginda, pelaksanaan hukuman tidak seharusnya dilihat sebagai suatu bentuk pembalasan sebaliknya sebagai instrumen untuk membina keinsafan, memperbaiki akhlak serta memulihkan pesalah kembali menghayati nilai-nilai Islam dan berperanan sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab.
“Kita sedang melangkah ke era baharu dalam pembangunan perundangan syariah yang menuntut pendekatan lebih progresif dan berorientasikan pemulihan.
Ia (hukuman) alternatif bagi kesalahan syariah yang bersesuaian, selaras peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Pendekatan ini bukan saja memberi manfaat kepada masyarakat, malah memperkukuhkan fungsi sistem keadilan syariah sebagai wadah mendidik, membimbing dan memulihkan,” titah baginda ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Kali Ke-199, di sini, hari ini.
Baginda berharap perbincangan mengenai hukuman itu menghasilkan keputusan yang tuntas, praktikal dan berpandangan jauh demi memperkukuhkan pentadbiran keadilan syariah di Pahang.
Titah itu disiarkan melalui Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.
Turut berangkat ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Al-Sultan Abdullah turut merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Kesultanan Pahang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) serta Jabatan Pendakwaan Syariah Pahang atas penganugerahan Sijil Pengiktirafan Unggul Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) 2026.
Baginda menyifatkan pengiktirafan itu sebagai bukti komitmen berterusan agensi-agensi kerajaan negeri dalam memperkukuh tadbir urus, membudayakan integriti, serta melaksanakan inisiatif pencegahan rasuah secara sistematik dan berkesan demi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
(Foto fb Kesultanan Pahang)
Nnn
