Selamat mengundi Bangsa Johor!

JOHOR BAHRU 11 Julai – Selamat mengundi kepada lebih 2.7 juta Bangsa Johor untuk memilih kerajaan baharu bagi penggal akan datang pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor ke-16 yang berlangsung hari ini.

Adakah Bangsa Johor akan terus mengekalkan Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kestabilan dan kemajuan diteruskan? Atau mengubah selera kepada Pakatan Harapan (PH) untuk membawa Johor ke depan?

Pelbagai ramalan dibuat dengan di atas kertas BN dikatakan akan mempertahankan kerajaan negeri di bawah pimpinan Onn Hafiz Ghazi walaupun diasak kiri kanan, depan belakang khususnya oleh PH.

Bagaimanapun, peluang PH juga terbuka apabila Pengerusi PH, Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR merangkap Perdana Menteri turun ke gelanggang untuk mengetuai’ kempen berkenaan.

Anwar dilihat turun ke gelanggang dengan ‘garang menyerang’ habis-habisan BN, walaupun di peringkat pusat BN adalah anggota Kerajaan Perpaduan. Berbaloi jika PH menang dengan masa yang diperuntukkan Anwar untuk kempen

Pelbagai isu dibangkitkan sepanjang kempen sehingga ada yang mengheret isu luar Johor sebagai bahan kempen.

Begitu juga kenyataan Onn Hafiz yang tidak sanggup duduk semeja dengan DAP diputarkan sebagai membenci kaum Cina sedangkan MCA sebagai rakan komponen BN juga mewakili masyarakat Cina. Maknanya tidak timbul isu kaum.

Semoga kempen panas yang sudah berakhir tengah malam tadi dapat memberi petunjuk yang baik kepada Bangsa Johor untuk memilih kerajaan baharu.

PRU DN kali ini menyaksikan keseluruhan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN melibatkan pertembungan empat penjuru di 12 kerusi, tiga penjuru (27) dan saingan satu lawan satu di 14 kerusi.

Dengan harapan bagi membentuk kerajaan, Barisan Nasional (BN) dianggotai UMNO, MCA dan MIC dan Pakatan Harapan (PH) dianggotai PKR, DAP dan Amanah masing-masing mempertaruhkan 56 calon.

Manakala dengan hasrat untuk menjadi pembangkang yang kuat, Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Pas, Bersatu, Gerakan dan MIPP meletak calon di 33 kawasan DUN.

Parti Bersama Malaysia pula bertanding di 15 kerusi DUN diikuti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (empat) serta Parti Orang Asli Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia masing-masing satu calon, selain enam calon Bebas.

Sebelum pembubaran DUN pada 1 Jun lepas, BN menguasai 40 kerusi diikuti PH (12), PN (tiga), manakala MUDA satu kerusi.

Pada hari pengundian hari ini, sebanyak 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,889 saluran dibuka serentak mulai pukul 8 pagi bagi membolehkan rakyat negeri ini menentukan mandat baharu di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pusat-pusat mengundi berkenaan akan ditutup secara berperingkat bermula 11 pagi hingga 6 petang ini mengikut lokasi, sebelum proses pengiraan undi dimulakan.

Antara pusat mengundi yang dijadualkan ditutup awal ialah di Pulau Besar pada 11 pagi, diikuti Pulau Aur dan Pulau Pemanggil pada 12 tengah hari.

Bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar dan teratur, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggerakkan 43,036 petugas di seluruh negeri, manakala 24,677 kertas undi pos yang telah dikeluarkan perlu diterima semula sebelum 6 petang ini.

SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi sekitar 70 peratus, dengan keputusan penuh dijangka dapat diketahui seawal 10 malam ini.

Pada Selasa lepas, sebanyak 20,607 pengundi awal terdiri daripada anggota polis dan tentera bersama pasangan selesai menunaikan tanggungjawab mengundi.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment