Pulau Langkawi jangan tiru Phuket, Bali

ALOR SETAR 5 Julai – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, Pulau Langkawi adalah aset strategik negeri dan negara yang perlu dipelihara serta dibangunkan secara lestari supaya terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.

Titah baginda, pembangunan Pulau Langkawi perli dibentuk mengikut acuan dan identiti tersendiri, tanpa meniru atau membandingkannya seperti Phuket atau Bali.

“Kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi dan warisan unik yang dimilikinya. Justeru, aset berharga ini wajib dipelihara dan dibangunkan secara lestari,” titah baginda.

Justeru baginda tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan bertindak atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mencemarkan imej serta reputasi Pulau Langkawi.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Pengurniaan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran Negeri Kedah Tahun 2026 di Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.

Turut berangkat Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin serta Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Sultan Sallehuddin bertitah, kerajaan negeri dan semua pihak berkaitan perlu memastikan setiap usaha pembangunan di Langkawi dilaksanakan secara terancang tanpa menjejaskan identiti serta keunikan pulau peranginan berkenaan.

Kaji semula kadar pajakan Pulau Pinang.

Selain itu, baginda turut mahu Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut kadar semasa berdasarkan semangat dan maksud asal perjanjian berkenaan.

Menurut baginda, bayaran pajakan Pulau Pinang yang diterima oleh Kedah adalah berasaskan perjanjian yang telah lama dimeterai dengan kadar yang dibayar pada masa ini adalah jauh lebih rendah berbanding nilai yang sewajarnya.

“Beta ingin memperingatkan akan hak dan kedaulatan Negeri Kedah, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, hendaklah dihormati oleh semua pihak,” titah baginda.

Baginda juga mahu Kerajaan Persekutuan memberi kerjasama dan memastikan tiada sebarang halangan pentadbiran berlaku di negeri Kedah termasuk dalam menguruskan unsur nadir bumi (REE).

Titah baginda, hak dan kuasa negeri untuk mengurus serta meneroka sumber hasil bumi hendaklah dihormati dan dipermudahkan.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment