KUALA KANGSAR 5 Julai – Tiga hibrid durian baharu berpotensi dilancarkan sebagai varieti premium bagi memenuhi permintaan pengguna serta industri, kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Beliau berkata, ketika ini ketiga-tiga hibrid itu sedang melalui proses penilaian bagi memastikan kualiti buah, penerimaan pengguna serta kesesuaiannya untuk ditanam secara komersial.
Katanya, walaupun pokok sudah matang, tetapi MARDI mahu memastikan hasil pengeluaran mencukupi sebelum diisytiharkan sebagai klon baharu kerana orang ramai juga mahu merasai sendiri buah berkenaan.
Bercakap kepada media pada Program Duriotourism MARDI Kuala Kangsar bersama media di Taman Agroteknologi MARDI Kuala Kangsar, di sini, hari ini, Mohamad Zabawi berkata, ketika ini MARDI mempunyai tiga varieti premium utama iaitu MS88 ( dikenali sebagai MDUR88), selain MDUR78 dan MDUR79.
Sejak 2021 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), MARDI sudah mengagihkan kira-kira 25,000 pokok durian varieti MS88 kepada petani di seluruh negara membabitkan kawasan penanaman seluas kira-kira 600 hektar.
Katanya, projek itu akan diteruskan sehingga penghujung Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan pengeluaran varieti berkenaan termasuk bagi tujuan eksport pada masa depan.
Manakala, varieti M288 turut mempunyai potensi besar untuk pasaran eksport kerana memiliki isi tebal, rasa lemak serta sedikit pahit yang menjadi pilihan sebahagian penggemar durian.
Menurut beliau, musim durian tahun ini menunjukkan pengeluaran yang jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu berikutan cuaca yang sesuai termasuk tempoh cuaca panas yang merangsang pembungaan sebelum disusuli hujan yang membantu perkembangan buah.
Di samping faktor cuaca, pokok durian yang ditanam sekitar lima hingga enam tahun lalu termasuk varieti M288, juga sudah mula mengeluarkan hasil dan menyumbang kepada peningkatan pengeluaran musim ini.
Mengenai isu lambakan durian, beliau berkata, MARDI tidak terbabit secara langsung dalam pemasaran hasil.
Bagaimanapun MARDI mampu membantu melalui teknologi kriogenik yang mampu mengekalkan kesegaran durian sehingga enam bulan dengan rasa yang hampir menyamai buah segar.
Katanya , teknologi ni juga digunakan untuk buah-buahan lain seperti nangka dan berpotensi dimanfaatkan syarikat yang ingin menyimpan atau mengeksport buah dalam tempoh lebih lama.
Nnnn
