5 Aku Janji Khidmat ganti manifesto Bersama

JOHOR BAHRU 30 Jun – Tiada manifesto sebaliknya Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang bertanding di 15 kawasan menawarkan lima Aku Janji Khidmat kepada pengundi dalam kempen Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor ini.

Menerusi Aku Janji Khidmat itu, Bersama memberi komitmen memainkan peranan sebagai pembangkang berkesan, khususnya dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Pemimpin Bersama, Rafizi Ramli, berkata pendekatan itu dipilih kerana parti hanya bertanding 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus tidak berada pada kedudukan untuk membentuk kerajaan negeri.

Beliau berkata, lima aku janji berkenaan dirangka sebagai komitmen jangka panjang calon-calon Bersama untuk terus berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira keputusan pilihan raya.

“Aku janji pertama ialah menjadi saluran suara rakyat menerusi penganjuran daftar bergerak aduan rakyat setiap bulan, selain menyediakan platform digital bagi membolehkan orang ramai mengemukakan isu setempat dan nasional secara terus kepada pimpinan parti.

Calon-calon Bersama juga berikrar menganjurkan forum awam, petisyen dan kempen bagi memastikan isu membabitkan rakyat Johor mendapat perhatian kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya pada sidang media di sini.

Rafizi berkata, aku kanji kedua pula memberi penekanan kepada peranan sebagai pembangkang yang konstruktif dengan bukan sahaja membawa aduan rakyat, malah menawarkan penyelesaian alternatif melalui kerjasama bersama jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.

Sementara, katanya bagi aku janji ketiga, parti itu akan memperjuangkan hak pemilikan rumah rakyat termasuk mempertahankan kampung tradisi daripada tekanan pembangunan komersial serta melindungi hartanah penduduk yang terjejas akibat projek industri.

Selain itu, Bersama juga itu turut berikrar memperjuangkan penambahbaikan dasar perumahan negeri supaya lebih ramai rakyat Johor mampu memiliki kediaman yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan mereka.

Aku janji keempat memberi fokus kepada usaha memperjuangkan sistem pengangkutan awam bersepadu, berteraskan bas untuk melengkapi pengangkutan berasaskan aliran transit massa yang sedang dibangunkan di Johor Bahru.

Manakala Aku janji kelima pula ialah memperkukuh fungsi semak dan imbang menerusi pemantauan terhadap prestasi kewangan kerajaan negeri, badan berkanun serta syarikat milik kerajaan negeri bagi mengesan ketirisan dan pembaziran dana awam.

Rafizi berkata, pendekatan lima Aku Janji Khidmat itu lebih mencerminkan keikhlasan parti untuk menjadi pembangkang yang berfungsi, berkualiti dan terus berkhidmat kepada rakyat Johor melangkaui tempoh kempen serta pilihan raya.

Related posts

Leave a Comment