JOHOR BAHRU 27 Jun – Sebanyak 172 calon mewakili pelbagai parti politik dan Bebas mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor Ke-16 selepas proses penamaan calon ditutup pukul 10 pagi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ramlan Harun berkata, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Ini diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 33 kerusi, Parti Bersama Malaysia (Bersama) 15, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) 4; Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing satu kerusi.
Pada sidang media di sini, Ramlan turut memaklumkan enam orang akan bertanding sebagai calon Bebas dan tiada pencalonan ditolak.
Dalam pada itu, mengikut jantina, sebanyak 138 calon adalah lelaki dan 34 wanita manakala mengikut penjuru pula, 14 kerusi akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu, 27 DUN tiga penjuru, 12 DUN empat penjuru, dan tiga DUN lima penjuru.
Katanya, julat umur 21-29 tahun melibatkan sembilan calon diikuti 30 – 39 (38): 40 – 49 (50); 50 – 59 (48) dan 27 calon melebihi 60.
Calon tertua pula berusia 73 tahun iaitu Lim Chin Eng (N.45 Stulang) yang mewakili PN manakala calon termuda berusia 23 tahun adalah Danish Rahman (N.37 Johor Lama) yang mewakili PH.
NNNN
