LONDON – Gelombang haba melampau di United Kingdom memecah rekod suhu tertinggi sebanyak tiga kali sehari.
Menurut Jabatan Meteorologi UK (Met Office), suhu tertinggi mencecah 36.7°C direkodkan di Merryfield, Somerset, selepas bacaan sebelumnya 36.6°C di Yeovilton, yang turut mengatasi rekod terdahulu pada hari yang sama.
Sebelum itu, suhu 36.4°C telah pun memecahkan rekod Jun, menjadikannya dua hari berturut-turut rekod baharu dicatatkan.
Dalam pada itu, Met Office telah melanjutkan amaran merah cuaca panas melampau sehingga Jumaat bagi London dan beberapa kawasan di tenggara England, berikutan keadaan suhu tinggi yang semakin kritikal.
Gelombang haba ini turut menyaksikan malam Jun terpanas pernah direkodkan di UK, dengan suhu di Cardiff kekal melebihi 23.5°C sepanjang malam.
Cuaca panas berpanjangan ini memberi tekanan besar kepada perkhidmatan awam serta infrastruktur.
Syarikat pembekal air, South East Water, telah melaksanakan larangan penggunaan hos air (hosepipe ban) yang menjejaskan kira-kira 850,000 pengguna di Kent, berikutan permintaan air yang melonjak tinggi.
Ketua Meteorologi Met Office, Andy Page, berkata cuaca panas dan lembap luar biasa ini dijangka berterusan dalam tempoh terdekat walaupun beberapa kawasan mungkin mengalami sedikit penurunan suhu daripada kemuncak sebelum ini.
Katanya, suhu maksimum siang hari berpotensi melebihi 36°C, malah boleh mencecah sehingga 37°C di sesetengah kawasan.
