Pejuang, PCM anggota baharu PN

KUALA LUMPUR 22 Jun – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) diterima sebagai anggota baharu dalam Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) PN di Pejabat Agung Pas, malam ini.

“Berkenaan keanggotaan PN, mesyuarat setuju meluluskan dua parti politik menganggotai PN.

“Mesyuarat menerima dua permohonan dan meluluskan dua keanggotaan iaitu Pejuang dan PCM,” katanya pada sidang media.

Untuk rekod Pejuang dipimpin oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir manakala PCM diketuai Huan Cheng Guan.

Bagaimanapun PCM dijenamakan semula kepada Parti Wawasan Negara yang dipimpin Hamzah Zainudin.

Ahmad Samsuri berkata, mesyuarat bermula pada pukul 9.30 malam dan berakhir kira-kira 11.30 malam.

Ditanya mengenai status Bersatu dalam PN dan penggunaan logo pada PRN, beliau memberitahu, perkara tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Pada masa sama, Ahmad Samsuri berkata PN akan memuktamadkan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat.

“Satu mesyuarat mengenai perkara itu akan diadakan esok, yang bakal dipengerusikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Pengarah Pilihan Raya PN. Insya-Allah akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Related posts

Leave a Comment