PUTRAJAYA 22 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan isu pemindahan tiga gajah Asia dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dari Zoo Taiping di Perak ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
Menerusi satu kenyataan, SPRM memaklumkan pihaknya giat mendapatkan keterangan daripada beberapa agensi awam.
Ini termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta ejen yang terbabit dalam urusan pemindahan DAK.
SPRM akan turut memberi perhatian terhadap dakwaan terdapat bayaran berkait urusan itu yang tidak disalurkan kepada kerajaan selain beberapa individu dikaitkan dengan transaksi dianggarkan bernilai RM53 juta.
Menurut SPRM, memandangkan siasatan masih di peringkat awal dan sedang dijalankan secara menyeluruh, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan.
SPRM, komited menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan telus serta tidak berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah atau salah guna kuasa sekiranya terdapat bukti yang mencukupi untuk tindakan lanjut.
Dara, Amoi dan Kelat sebelum ini dilapor dipindahkan dari Malaysia ke Zoo Tennoji menerusi perjanjian kerjasama konservasi antara Zoo Taiping & Night Safari dengan Tennoji Zoo, namun timbul persoalan mengenai kebajikan, habitat dan kesejahteraan tiga haiwan itu selepas berada di Jepun.
Susulan itu juga, pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis kebajikan haiwan menyuarakan kebimbangan terhadap kehidupan gajah berkenaan.
Mereka berpandangan mengatakan gajah yang berasal dari habitat tropika lebih sesuai ditempatkan di persekitaran semula jadi di Malaysia berbanding di zoo luar negara.
Dalam pada itu, beberapa pemimpin dan pihak berkepentingan menggesa agar Dara, Amoi dan Kelat dibawa pulang ke tanah air, termasuk mencadangkan ia ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.
Pusat berkenaan mempunyai kepakaran, ruang pergerakan dan kemudahan yang lebih sesuai untuk penjagaan gajah.
Nnn
