Amanah yakin menang enam kerusi

BATU PAHAT 21 Jun – Amanah yakin mampu memenangi sekurang-kurangnya enam daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi wakil parti itu di zon utara pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor bulan depan.

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan bagaimanapun tidak mendedahkan senarai enam kerusi yang diyakini boleh menang itu.

Bagaimanapun, 10 kerusi yang bakal ditandingi parti itu di zon utara ialah DUN Kemelah dalam Parlimen Sekijang; Tenang (Labis); Serom (Ledang); Maharani (Muar); Simpang Jeram (Bakri); Bukit Pasir (Pagoh); Parit Yaani (Sri Gading); Semarang (Ayer Hitam); Rengit (Batu Pahat) dan Mahkota (Kluang).

Menurut beliau, semua 10 kerusi di zon utara akan diwakili gabungan muka baharu dan lama, selain calon yang pernah bertanding pada pilihan raya lalu.

“Kita ada 10 calon dan mereka bersama kita pada malam ini (malam tadi). Cuma, kita tidak boleh dedahkan siapa mereka selagi belum diumumkan.

Insya-Allah, nama mereka akan diumumkan Pengerusi PH (Anwar Ibrahim) dalam masa terdekat,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Jentera Amanah PRN Johor peringkat Zon Utara, di sini, malam tadi.

Tambah beliau, lima calon muka baharu selain penyandang akan diketengahkan Amanah kali ini.

“Kita berpeluang merampas semula Parit Yaani, kerusi ini ada potensi untuk kita menang,” katanya.

Sementara itu, Aminolhuda berkata, Amanah Johor terpaksa akur kerana ‘hilang’ kerusi DUN Puteri Wangsa yang diserahkan kepada PKR pada PRU DN (PRN) bulan depan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas parti melalui beberapa rundingan dan akhirnya Puteri Wangsa yang menjadi kerusi tradisi partinya diserahkan kepada PKR.

“Tak apalah, kita akur dengan kemahuan mereka (PKR). Apa yang saya katakan, kita lebih utamakan dari segi kesetiaan dalam gabungan ini. Walaupun kerusi ini adalah tradisi kita dan Larkin tradisi PKR, tetapi bila mereka (PKR) masih nak lagi (DUN Puteri Wangsa), maka tutuplah peluang Amanah.

“Seboleh-boleh dia kata nak juga, kami tak boleh kata apa. Yang penting kita dapat bertanding secara ‘gentleman’. Kami secara berlapang dada melepaskan kerusi itu,” katanya

Related posts

Leave a Comment