Bersatu, jangan untungkan PH

SEPANG 17 Jun – Kesediaan Bersatu untuk bertembung dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor dan Negeri Sembilan hanya akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman, berkata kesediaan Bersatu itu, tidak ubah sebagai pertembungan ‘kabilah’ yang akhirnya menguntungkan pihak lawan.

“Suara akar umbi dan hasrat orang Melayu, sebolehnya jangan sampai ‘kabilah’ bertembung. Jika bertembung, yang untung Pakatan Harapan (PH). Menang sorak, kampung tergadai,” kata Ahli Parlimen Bachok itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu merujuk kesediaan Bersatu untuk berdepan Pas dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan jika jalan musyawarah untuk memulihkan hubungan kedua-dua parti gabungan Perikatan Nasional (PN) itu gagal..

Terdahulu Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu memutuskan untuk terus kekal dalam PN dan akan bertanding dalam PRN Johor serta Negeri Sembilan menggunakan logo pakatan itu.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dilaporkan berkata, sebagai parti pengasas PN, tidak ada sebab untuk Bersatu mengambil pendirian keluar daripada gabungan itu.

Pada masa sama, Mohd Syahir turut mempersoalkan sama ada tindakan Bersatu untuk melawan Pas itu dilakukan kerana parti terbabit mahu menjadi ‘anak tangga’ kepada PH.

“Melainkan ada pihak yang mahu menjadi ‘anak tangga’ kepada PH, seperti yang pernah diusahakan dahulu. Ketika itu, Pas menghalang. Harapnya tidak berulang,” katanya yang dipercayai merujuk kepada khabar angin bahawa Bersatu akan kembali bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun , Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali, menafikan dakwaan berkenaan dengan menyifatkan ia fitnah dan rekaan jahat yang sengaja dimainkan pihak tertentu bagi memecahkan perpaduan dalam Bersatu dan PN.

Berhubung penggunaan logo dan watikah PN, perihal itu perlu diputuskan Majlis Tertinggi (MT), yang kemudiannya akan ditandatangani Pengerusi PN, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mohd Syahir berkata, asas rundingan kerusi di Johor dan Negeri Sembilan ialah prinsip penyandang (incumbency) di sesuatu DUN manakala faktor selebihnya adalah berdasarkan keupayaan sesebuah parti menang di kawasan berkenaan.

“Ukur kekuatan jentera, sokongan rakyat, dan penerimaan calon. Sekalipun hendak berlawan, jangan diajak. Pas sudah 75 tahun berlawan. Jika sehaluan, jalan seiringan. Terserah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment