JAKARTA 16 Jun – Pemerhati Rasuah Indonesia (ICW) menggesa penggantungan program makanan percuma yang menjadi inisiatif utama Presiden Prabowo Subianto sambil mendesak siasatan terhadap projek itu diperluaskan.
Ketua Bahagian Undang-Undang dan Siasatan ICW, Wana Alamsyah, berkata Agensi Pemakanan Nasional (BGN) sepatutnya dibubarkan kerana gagal melaksanakan tatakelola yang baik.
BGN adalah agensi yang dipertanggungjawab menguruskan pelan makanan percuma di seluruh Indonesia bernilai AS$15 billion (RM60.7 bilion) bagi mengurangkan masalah kekurangan zat makanan dan kemiskinan rakyat republik itu.
Wana mendakwa program itu dirancang dengan lemah dan dilaksanakan secara tergesa-gesa.
“Wajar semua pihak yang mungkin mendapat manfaat daripada kelemahan tadbir urus program ini disiasat.
“Agensi penguat kuasa juga perlu menyiasat peranan vendor serta anggota jawatankuasa perolehan yang terbabit dalam proses itu,” katanya dalam satu temubual.
Pada Jun lalu, pihak berkuasa republik itu melancarkan siasatan kes rasuah terhadap bekas Ketua BGN, Dadan Hindayana, sehari selepas dia dipecat daripada jawatan itu.
Empat individu lain, termasuk dua bekas timbalan BGN turut ditahan.
Justeru, ICW berpendapat BGN yang ditubuhkan sekitar dua tahun lalu itu wajar disiasat dengan lebih menyeluruh.
Di bawah program dikendalikan oleh BGN, agensi itu ketika ini menyediakan makanan kepada lebih 60 juta rakyat Indonesia.
Pejabat Peguam Negara Indonesia bagaimanapun belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas perkara itu.
Sementara itu, ketua baharu BGN, Nanik S Deyang, berkata pihaknya akan menumpukan semula agenda pelaksanaan program utama itu dengan memberi penekanan terhadap aspek kecekapan serta pelaksanaan yang lebih bersasar.
Beliau berkata, agensi itu berhasrat membelanjakan kurang daripada peruntukan asal ditetapkan iaitu sebanyak 268 trilion rupiah (RM76 bilion) yang disediakan untuk tahun ini, dengan memberi tumpuan kawasan pedalaman.
“Kami akan meningkatkan kualiti pelaksanaan. Mungkin kami tidak akan mengejar sasaran 82.9 juta penerima, sebaliknya memberi tumpuan kepada kemampuan dapur-dapur program ini menyediakan makanan yang sihat dan berkhasiat,” katanya.
Prabowo sebelum ini memberi amaran bahawa beliau tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang amalan penyelewengan dan rasuah dalam program itu.
“Saya tidak mahu wang rakyat dicuri. Tiada pengecualian kepada sesiapa,” katanya ketika berucap kepada ribuan pegawai dan rakan strategik program makanan percuma itu beberapa jam selepas Dadan ditahan.
ICW yang mula-mula mendedahkan berlaku penyelewengan program itu sebelum ini turut memberi amaran bahawa rangkaian dapur yang menjadi tunjang program makanan percuma itu terdedah kepada amalan kronisme.
Dalam laporan yang menilai 102 yayasan yang mengendalikan dapur di 38 wilayah, ICW mendapati wujud kaitan dengan individu berpengaruh dalam kalangan ahli politik, pegawai kerajaan, anggota tentera, pegawai penguat kuasa undang-undang dan rangkaian perniagaan.
Dalam satu lagi laporan diterbitkan oleh Pusat Pengajian Ekonomi dan Undang-Undang yang berpangkalan di Jakarta, mendapati 79 peratus responden menyedari kemungkinan berlaku konflik kepentingan dalam pelantikan vendor secara terus.
Mengikut kajian terdahulu pula, ia memberi amaran bahawa program itu berisiko menyebabkan agihan tidak seimbang, kualiti makanan yang diragui serta ketidakcekapan penggunaan peruntukan.
Sebagai usaha memperketatkan proses pemilihan, S Deyang mengumumkan moratorium terhadap pembukaan dapur baharu di bawah program itu yang akan mengutamakan penggunaan kemudahan sedia ada seperti kantin sekolah berbanding membina dapur baharu.
