NEW DELHI – Sebuah gerakan anak muda dikenali sebagai ‘Cockroach Janta Party’ (CJP) mengadakan bantahan besar pertama mereka di ibu negara India dengan mendesak Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan, meletakkan jawatan.
Bantahan di lokasi ikonik Jantar Mantar itu disertai ratusan pelajar, golongan muda dan ibu bapa yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap isu berkaitan sistem pendidikan negara.
Gerakan yang bermula sebagai kumpulan satira di media sosial itu kini berkembang pesat dan berjaya menarik jutaan pengikut dalam tempoh singkat, sekali gus menjadi antara platform utama golongan muda untuk menzahirkan ketidakpuasan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.
Pengasasnya, Abhijeet Dipke, 30, yang pulang dari Amerika Syarikat, mengetuai bantahan tersebut sambil menyeru perubahan dalam sistem pendidikan dan akauntabiliti kepimpinan.
Antara tuntutan utama mereka ialah peletakan jawatan Menteri Pendidikan susulan dakwaan kebocoran kertas peperiksaan dan kelemahan dalam pengurusan sistem peperiksaan nasional seperti NEET serta penilaian peperiksaan sekolah.
Peserta bantahan turut membawa sepanduk dan melaungkan slogan menuntut reformasi pendidikan, sambil menegaskan bahawa ketelusan dan integriti peperiksaan amat penting kerana ia menentukan masa depan jutaan pelajar di negara itu.
Pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar ibu negara, dengan lebih 1,000 anggota polis dikerahkan bagi memastikan keadaan terkawal sepanjang demonstrasi berlangsung.
Gerakan tersebut mencerminkan keresahan dalam kalangan generasi muda India, khususnya berkaitan kadar pengangguran belia yang masih tinggi serta cabaran mendapatkan pekerjaan dalam ekonomi yang semakin kompetitif.
Nnnnn
