JERUSALEM – Istana Beaufort yang dibina pada era Perang Salib di selatan Lubnan ditawan tentera Israel ketika Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengarahkan pasukan tenteranya memperluas pencerobohan ke dalam wilayah negara itu.
Israel menguasai istana berusia kira-kira 900 tahun yang terletak berhampiran bandar Nabatiyeh selepas beberapa hari pertempuran sengit di kawasan berkenaan.
Menurut Angkatan Pertahanan Israel (IDF), operasi itu memberi tumpuan kepada usaha mengawal Rabung Beaufort serta kawasan Wadi al-Saluki, selain memusnahkan infrastruktur milik Hizbullah yang didakwa beroperasi di kedua-dua lokasi itu.
Istana bersejarah yang dibina pada era Perang Salib itu terletak di kawasan tinggi yang menghadap Sungai Litani dan sekian lama dianggap sebagai lokasi strategik di selatan Lubnan, selain pernah diduduki tentera Israel dalam konflik terdahulu.
Istana Beaufort turut diiktiraf sebagai antara kubu zaman pertengahan yang terbaik dipelihara dan pernah diberikan status perlindungan khas bagi mengelakkannya daripada disasarkan dalam operasi ketenteraan.
Tapak itu juga pernah menjadi medan pertempuran sengit pada 1982 sebelum Israel berundur dari selatan Lubnan pada tahun 2000 selepas hampir dua dekad pendudukan.
IDF memaklumkan, operasi berkenaan dimulakan beberapa hari lalu melibatkan sejumlah besar anggota darat bagi memperluas garis pertahanan hadapan.
Tentera Israel turut mendakwa, kawasan Rabung Beaufort sebelum ini digunakan oleh Hizbullah untuk merancang dan melaksanakan pelbagai serangan terhadap Israel.
Dalam perkembangan berkaitan, serangan udara dan pengeboman dilaporkan berlaku di sekitar kawasan istana, manakala Hezbollah mendakwa berjaya memusnahkan sebuah kereta kebal Israel berhampiran lokasi itu.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan di Arnoun turut mengecam serangan tersebut dan menggesa komuniti antarabangsa melindungi tapak bersejarah berkenaan.
Netanyahu memuji operasi tersebut dan menyifatkan kejayaan itu sebagai satu perubahan besar dalam pendekatan keselamatan Israel.
