Bubar segera, adakan PRU, PRN serentak

SEPANG 28 Mei – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen dengan segera bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara serentak jika UMNO memilih untuk bergerak solo di Johor dan “menikam dari belakang”. 

Menerusi satu kenyataan, DAPSY berkata, pilihan raya serentak itu memberi peluang kepada rakyat untuk membuat keputusan dengan jelas dan muktamad secara sekaligus untuk menghukum pengkhianat.

Menurut DAPSY, sekiranya UMNO Johor benar-benar mahu berbicara soal “adab” dan penghargaan, parti itu wajar menjawab dua persoalan utama mengenai peranan rakan gabungan yang membantu mengekalkan relevan politik mereka selepas kejatuhan teruk pada PRU lalu. 

DAPSY menegaskan bahawa selepas PRN 2023, formula kerjasama dan rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan BN memberikan talian hayat kepada UMNO untuk kekal relevan. 

Katanya, ia termasuklah penyertaan UMNO dalam pentadbiran Selangor dan Pulau Pinang, serta sokongan PH bagi mengekalkan jawatan menteri besar daripada UMNO di Perak dan Pahang. 

Bagaimanapun, DAPSY menyatakan kesalnya kepada pihak yang disifatkan bagai kacang lupakan kulit ketika kerajaan sedang berdepan dengan cabaran ekonomi global.

DAPSY turut memetik pandangan penganalisis politik daripada Ilham Centre, Hisommudin Bakar, dan sarjana Azmil Tayeb yang menyatakan UMNO tidak mampu mengalahkan Perikatan Nasional (PN) sekiranya bersaing dalam gelanggang politik identiti Melayu-Islam. 

Sebaliknya, UMNO dinasihatkan untuk terus bergantung kepada sokongan pengundi bandar dan bukan Melayu yang memerlukan naratif kestabilan serta kesederhanaan. 

Related posts

Leave a Comment