KANGAR 23 Mei – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis akan dibubarkan sekiranya enam wakil rakyat Pas mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dalam sidang DUN yang dijadual pada 3 hingga 5 Jun ini.
Abu Bakar berkata, beliau tidak mempunyai pilihan dan menunggu sebarang tindakan dari wakil rakyat Pas tersebut jika berhasrat berbuat demikian.
Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis tertubuh selepas peralihan kuasa di peringkat kerajaan negeri, yang mana Raja Perlis turut mengamanahkan agar dipertahankan kerajaan tersebut selepas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar.
“Namun sekiranya berlaku perkara-perkara tidak diingini (undi tidak percaya) saya tidak ada pilihan (bubarkan DUN). Jika berlaku dan mungkin berlaku, saya membuat keputusan dan tidak ada pilihan terpaksa bubarkan DUN.
“Jika ada unsur-unsur membuat undi tidak percaya semasa sidang DUN nanti, kita bubar, apa masalah, bagi saya orang politik, tidak pernah kenal erti takut,” katanya selepas majlis perasmian Malam Citra Warna Kuala Perlis 2026 di sini semalam.
Semalam , Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menghormati semangat setiakawan dalam gabungan PN termasuk kemelut politik di Negeri Sembilan selain sebelum ini bertindak menyokong usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dari Pas di Perlis.
Ahli Parlimen Marang itu turut memaklumkan akan berbincang dengan pimpinan Perlis mengenai tindakan selanjutnya.
Sidang DUN Perlis dijadual berlangsung pada 3 sehingga 5 Jun depan dijangka menarik perhatian dengan kemungkinan enam wakil rakyat Pas mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.
Sebelum ini, enam wakil rakyat dari Pas menuntut penjelasan Abu Bakar berhubung penangguhan sidang DUN Perlis yang sepatutnya berlangsung pada 21 sehingga 23 April lalu.
Desakan tersebut diketuai Mohd. Shukri Ramli (Sanglang) bersama lima yang lain iaitu Muhammad Azmir Azizan (Santan); Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang); Razali Saad (Simpang Empat); Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri).
Bagaimanapun Abu Bakar menafikan penangguhan sidang DUN Perlis tersebut disebabkan beliau takut digulingkan.
Nnnnnn
