KINSHASA – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, menyuarakan kebimbangan terhadap “skala dan kelajuan” wabak Ebola, yang kini diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan awam antarabangsa.
Ebola di Republik Demokratik Congo (DR Congo) dipercayai merebak lebih pantas daripada jangkaan awal, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu dalam kalangan pakar kesihatan global.
Setakat ini, wabak tersebut dilaporkan telah meragut sekurang-kurangnya 131 hingga 136 nyawa di DR Congo, dengan lebih 513 kes disyaki direkodkan manakala , satu kematian dilaporkan di negara jiran Uganda, menandakan penyebaran rentas sempadan yang semakin membimbangkan.
Seorang pegawai kanan WHO, Dr Anne Ancia, berkata siasatan yang sedang dijalankan menunjukkan penularan virus itu mungkin telah berlaku lebih meluas, termasuk ke kawasan lain dan merentasi sempadan negara.
Katanya, semakin banyak maklumat diperoleh, semakin jelas bahawa kes jangkitan telah merebak ke beberapa wilayah lain di luar pusat wabak.
Analisis pemodelan oleh Pusat Analisis Penyakit Berjangkit Global MRC di London menunjukkan kemungkinan berlaku “kekurangan pengesanan” kes secara ketara.
Kajian itu menganggarkan jumlah sebenar jangkitan mungkin jauh lebih tinggi dan tidak menolak kemungkinan bahawa kes sebenar telah melebihi 1,000.
Penyelidik turut menyimpulkan bahawa saiz sebenar wabak masih belum dapat dipastikan dan berkemungkinan lebih besar daripada angka rasmi yang dilaporkan.
WHO menjelaskan bahawa usaha mengawal wabak menjadi lebih sukar kerana kawasan terjejas merupakan zon konflik dengan tahap keselamatan rendah serta pergerakan penduduk yang tinggi.
Keadaan tersebut menyukarkan pengesanan kontak rapat, penyediaan rawatan dan usaha membendung penularan virus.
Wabak itu juga dilaporkan telah merebak ke wilayah lain termasuk South Kivu, serta bandar utama seperti Goma yang mempunyai populasi besar.
Palang Merah memberi amaran bahawa Ebola boleh merebak dengan pantas sekiranya kes tidak dikesan awal, masyarakat kurang maklumat dan sistem kesihatan tidak mampu menampung beban kes.
Nnn
