SHAH ALAM 19 Mei – Pemuda Pas Selangor menggesa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Lau Weng San meletakkan jawatan susulan kegagalan mengambil tindakan tegas terhadap kontroversi membabitkan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki berhubung isu babi ketika sidang DUN baru-baru ini.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, kegagalan Speaker mengawal perjalanan sidang dengan penuh wibawa memperlihatkan kelemahan serius dalam mempertahankan kemuliaan Dewan serta menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurutnya, Speaker tidak boleh lari daripada tanggungjawab susulan isu berkenaan yang mencetuskan kontroversi dan keresahan rakyat.
“Justeru, kami menggesa Speaker DUN Selangor meletakkan jawatan sebagai tanda bertanggungjawab atas kegagalan beliau mengawal perjalanan sidang dengan penuh wibawa dan mempertahankan kehormatan institusi negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris ashah berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu, dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia.
Baginda juga menyeru kepada semua wakil rakyat Negeri Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor ini setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen ini.
Saranan itu juga ditujukan khusus kepada ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, supaya datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami dan menghayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.
Dalam pada itu, Mohamed Sukri berkata, pihaknya menjunjung kasih atas titah Sultan Selangor yang mengingatkan semua pihak mengenai kepentingan memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara khususnya berkaitan kesopanan, kesusilaan serta penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan.
Katanya, teguran terbuka Sultan Selangor terhadap Siew Ki dan Ronnie Liu Tian Khiew membuktikan tahap kebiadaban politik yang berlaku kini sudah melampaui batas.
Beliau turut mendakwa DAP semakin sinonim dengan budaya politik biadab terhadap institusi diraja susulan beberapa insiden yang disifatkan gagal menghormati adab, tradisi dan semangat Perlembagaan negara.
“Rakyat Selangor mahukan politik matang, beradab dan menghormati institusi negara, bukannya politik angkuh yang mencabar sentimen rakyat serta memperlekehkan institusi Raja Berperlembagaan,” tegas beliau.
Katanya, rakyat melihat satu demi satu insiden yang memperlihatkan kegagalan pimpinan DAP menghormati adab, tradisi dan semangat Perlembagaan Negara.
“Adun Seri Kembangan pula sepatutnya sedar bahawa sidang Dewan ketika menjunjung titah Tuanku bukan medan untuk menghidupkan kembali polemik yang telah menimbulkan keresahan rakyat.
Wakil rakyat yang matang sepatutnya membawa solusi dan menjaga keharmonian negeri, bukannya mencetuskan provokasi politik murahan,” katanya.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan dua rangkap pantun
Air tenang jangan disangka tiada buaya,
Dalam sungai banyak rahsia,
Setia kepada raja tanda mulia,
Menderhaka rosak bangsa dan negara.
Pucuk pauh ditimpa kedondong,
Jatuh sebiji ke dalam perigi,
Adat Melayu penuh sanjung,
Daulat raja dipelihara sepenuh hati.
Nnn
