SEPANG 15 Mei – Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) kecewa dengan keputusan Kabinet membenarkan pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) memohon kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dengan menetapkan syarat tertentu.
Dalam satu kenyataan hari ini Dong Zong berkata, keputusan oleh Jemaah Menteri itu penuh dengan pernyataan yang samar-samar dan sekadar langkah separuh hati.
Malah langkah kerajaan itu dianggap sebagai satu peminggiran, menyekat kebebasan pelajar merancang laluan pendidikan mereka dan bertentangan dengan prinsip ‘peluang yang adil’ seperti sering ditekankan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Dong Zong berkata, keputusan itu juga mengecewakan masyarakat Cina yang mempunyai kelulusan UEC yang berharap pelajar laluan terbabit dapat memohon semua program pengajian yang ditawarkan di universiti awam.
“KPT baru-baru ini mengeluarkan kenyataan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri, kerajaan bersetuju membenarkan pemegang UEC memohon kemasukan ke IPTA. Namun kenyataan itu samar-samar dan mengandungi pelbagai sekatan yang menjadikannya sekadar langkah separuh hati.
Dong Zong kecewa terhadap pengumuman ini kerana ia jauh daripada harapan masyarakat Cina, gagal mencerminkan prinsip keadilan pendidikan dan mendedahkan kelemahan yang wujud dalam sistem sedia ada.
“Kami berpandangan kerajaan seharusnya bersikap lebih terbuka, menghargai sumbangan pendidikan SPMC dan melaksana pembaharuan sistem yang substantif bagi memastikan akses pendidikan yang inklusif dan adil supaya penghijrahan bakat tempatan dapat dikurangkan,” kata kenyataan itu.
Semalam KPT mengumumkan kerajaan yang bersetuju membuka laluan kemasukan ke IPTA kepada pelajar lepasan sekolah atau institusi tahfiz, lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang memiliki UEC ke IPTA bagi mengikuti program pengajian tertentu.
Dong Zong berkata, realitinya kemasukan pelajar UEC masih terikat kepada kerangka penilaian sistem pendidikan kebangsaan, apabila mereka tetap perlu bergantung kepada keputusan penuh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kombinasi mata pelajaran tertentu bagi tujuan pengiraan merit.
Katanya, ‘inklusif’ yang ditekankan KPT jelas bercanggah dengan realiti sebenar dan memperlihatkan keterbatasan dasar berkenaan.
“Dong Zong menggesa kerajaan menghargai sumbangan sistem pendidikan SMPC terhadap pembangunan negara dan masyarakat.
“Kerajaan harus meninggalkan pertimbangan politik yang sempit dan sikap konservatif yang mengongkong pembaharuan dasar, sebaliknya mengamalkan pendekatan lebih progresif dan terbuka demi merealisasikan kesaksamaan pendidikan serta membendung penghijrahan bakat yang semakin berterusan,” kata kenyataan itu.
