KUALA LUMPUR 14 Mei – Tinggalkan parti secara terhormat jika benar tidak lagi sehaluan dengan perjuangan PKR. Itu gesaan Exco Angkatan Muda Keadilan ( AMK) Malaysia, Dzul Hilmi Zainol kepada bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Saranan itu yang juga ditujukan kepada bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad adalah supaya anggota parti tidak dibiarkan tertanya-tanya dan parti terus dibebankan dengan polemik yang tidak berkesudahan.
“Politik matang memerlukan kejujuran, bukan sindiran berpanjangan. Kalau benar sudah hilang keyakinan terhadap perjuangan dan hala tuju parti, maka Rafizi Ramli dan Nik Nazmi sepatutnya berterus terang kepada anggota parti dan rakyat.
“Jangan terus bermain tarik tali politik sambil mengekalkan kerusi Parlimen Pandan dan Parlimen Setiawangsa dan juga terus mempengaruhi penyokong beliau yang ada di dalam PKR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi dalam kenyataan di laman Facebook berkata, beliau dan Nik Nazmi akan mengumumkan hala tuju baharu pada satu majlis pengumuman Ahad ini yang akan diadakan di PJ Performing Arts Centre (PJPAC) di Petaling Jaya.
Dzul Hilmi berkata, PKR dibina atas semangat perjuangan dan bukan untuk dijadikan pentas tekanan peribadi atau politik mengadu domba.
“Anggota di bawah bekerja siang malam mempertahankan Kerusi setiap Parlimen mahu pun DUN waema ketika susah, bukan untuk melihat pimpinan beragenda peribadi menghantar isyarat yang mengelirukan kepada akar umbi,” tegasnya.
Nnnn
