2 bekas pemimpin PKR umum hala tuju politik Ahad ini

SEPANG 13 Mei – Dua bekas anggota Kabinet iaitu Ahli Parlimen Pandan,  Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad akan mengumumkan hala tuju politik baharu mereka pada satu acara di Petaling Jaya Ahad ini.

Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, pengumuman akan dibuat pada satu acara terbuka di PJ Performing Arts Centre, One Utama E, Bandar Utama, Petaling Jaya dari pukul 2 petang hingga pukul 5 petang.

Katanya, tempoh setahun lalu memberi ruang kepada mereka untuk meneliti pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor sebelum menentukan langkah politik seterusnya.

“Langkah ini dibuat selepas tempoh setahun lalu memberi peluang kepada kami berdua mengambil kira pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor dalam menentukan hala tuju politik kami selepas ini.

Jadi, saya menjemput rakyat Malaysia dari seluruh negara dan pelbagai latar belakang yang mahu menyuburkan arus politik progresif untuk hadir bersama-sama ke acara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mereka yang ingin menghadiri acara berkenaan boleh mendaftar melalui borang pendaftaran rasmi.

Pada 28 Mei 2025, Nik Nazmi yang ketika itu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengumumkan peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa pada 4 Julai 2025.

Pengumuman itu dibuat kira-kira tiga jam selepas Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri berkuat kuasa 17 Jun 2025.

Keputusan diambil kedua-dua pemimpin PKR itu berikutan kekalahan mereka mempertahan jawatan masing-masing sebagai Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti Mei tahun lalu.

Related posts

Leave a Comment