Salah guna dadah remaja membimbangkan

GOMBAK 10 Mei – Agensi Antidadah Kebangaan (AADK) mendedahkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja kini pada tahap membimbangkan apabila kanak-kanak seawal usia 12 tahun turut dikesan positif dadah sintetik.

Ketua Pengarah AADK,  Ruslin Jusoh berkata, dengan kes membabitkan murid sekolah di Kelantan sebagai contoh terbabit dadah yang semakin mudah diperoleh seperti ‘Mushroom’ dalam cecair vape.

“Ini sangat bahaya. Kalau mereka terlibat, mereka akan ada masalah mental, kecenderungan bunuh diri tinggi, hidup dalam kemurungan dan halusinasi.

“Jadi, tolonglah. Kami bukan nak menghukum, tapi nak beri rawatan. Jika kita ambil tindakan awal, Insya-Allah kita boleh selamatkan mereka,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah Negeri Selangor di sini, hari ini.

Mengulas masalah dadah dalam kalangan belia, beliau berkata sekarang sudah mencecah hampir 70 peratus membabitkan mereka berusia 19 sehingga 40 tahun.

Katanya, tahun lalu 191,000 individu ditangkap atas kesalahan dadah dan pihaknya percaya masih ramai yang belum ditangkap lagi.

“Kita ada 50,000 individu yang berada di bawah pengawasan AADK di luar sana selain 5,000 orang di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) yang ditahan selama dua tahun.

“Jadi, ini adalah angka yang kita ada hari ini. Harapan saya dengan adanya program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah ini, dengan memberi tumpuan kepada Kampung Kemensah, saya mahu semua masyarakat di sini memainkan peranan penting,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya menjadi mata dan telinga AADK dengan membuat laporan jika mendapati ada aktiviti penagihan dadah, dan jika ada ahli keluarga terlibat, mereka perlu datang kepada AADK untuk mendapatkan rawatan.

“Kebanyakan anak-anak kita terlibat disebabkan kurangnya pengawasan ibu bapa. Masalahnya bermula dari rumah kerana ibu bapa tidak ambil peduli.mKalau anak keluar malam, (ibu bapa) biarkan, balik pukul 2 atau 3 pagi, (ibu bapa) biarkan. Tidak pergi kerja atau sekolah sekolah pun (ibu bapa) biarkan.

“Jika anak berperangai begitu, ibu bapa kena tahu ada sesuatu yang tak kena.

Kami di AADK boleh tahu jika mereka itu penagih atau tidak. Jadi, saya minta semua ketua kampung, pengerusi komuniti, bantu kami. Kita tak boleh harapkan polis dan AADK sahaja. Kita nak semua orang bergabung,” katanya.

Tegas beliau, pembabitan masyarakat setempat khususnya golongan belia amat penting dalam membentuk kesedaran awal serta meningkatkan daya tahan diri terhadap pengaruh negatif dadah.

“Skuad Antidadah berperanan sebagai barisan hadapan komuniti dalam menyampaikan mesej kesedaran serta menjadi mata dan telinga masyarakat terhadap isu penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment