WASHINGTON – Kira-kira 2.1 juta penduduk Gaza kini terperangkap di kawasan yang meliputi kurang daripada separuh wilayah itu, sekali gus mengehadkan akses kepada tanah pertanian, bekalan makanan dan perkhidmatan asas.
Justeru, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran krisis kelaparan di Semenanjung Gaza kekal meluas dan serius, dengan jutaan penduduk bergelut mendapatkan bekalan makanan mencukupi.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric memetik angka itu berdasarkan data Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
“Penduduk tidak dapat mengakses beberapa kawasan di Gaza yang menempatkan rizab tanah dan kemudahan kritikal seperti tapak pelupusan sisa pepejal. Mereka juga tidak dapat ke luar negara atau memasuki Tebing Barat yang menyediakan perkhidmatan seperti rawatan kesihatan khusus,” katanya.
Beliau berkata, mereka yang dibenarkan keluar menerusi pemindahan perubatan hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah pesakit yang memerlukan rawatan yang tidak tersedia setiap hari di Gaza.
Memetik Program Makanan Sedunia (WFP), Dujarric berkata lebih 1.6 juta penduduk menerima bantuan bungkusan makanan, makanan panas, roti atau bantuan tunai setiap bulan manakala, rakan kongsi kemanusiaan menyediakan kira-kira 1.1 juta hidangan makanan setiap hari menerusi lebih 120 dapur komuniti di seluruh Gaza.
Bagaimanapun lebih enam bulan selepas pengumuman gencatan senjata, WFP memaklumkan bahawa krisis kelaparan masih belum berakhir, dengan kadar kekurangan zat makanan kekal tinggi.
