MUDA sasar 5 hingga 10 kerusi DUN

ISKANDAR PUTERI 4 Mei – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyasarkan untuk bertanding lima hingga 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, kata Presidennya, Amira Aisya Abdul Aziz.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berkata, selain kerusi yang pernah ditandingi, parti juga sedang menilai beberapa kerusi lain yang meliputi pelbagai demografi.

“Kita akan lihat semua demografi seperti DUN Larkin di kawasan bandar; DUN Bukit Permai dan Machap pula kawasan separa bandar, malah kawasan pedalaman juga seperti DUN Tenang,

“Sekarang dalam proses untuk melihat kerusi apa lagi yang kita hendak bertanding. Ada juga kita berbincang dengan rakan parti lain… kita akan adakan siri rundingan dan umumkan,” katanya kepada media hari ini.

Beliau juga berhasrat mempertahankan kerusi yang disandangnya, satu-satunya kerusi MUDA di Johor, yang dimenangi pada PRN lalu.

Sementara itu, Amira Aisya memaklumkan MUDA tidak pernah membuat permohonan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), sebaliknya kerjasama baik dengan gabungan itu terhasil berikutan berada dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).

“Saya pasti semua sedar, MUDA di peringkat pembangkang dalam IPR yang mana jika ada isu rakyat, tidak kira di pusat atau pun negeri, kita memang akan bekerja rapat dengan PN dan parti pembangkang lain,” katanya.

Related posts

Leave a Comment