JEDDAH – Pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC) membincangkan perkembangan serantau dan antarabangsa semasa sidang kemuncak yang dipengerusikan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud.
Sidang itu membincangkan beberapa isu dan topik berkaitan perkembangan serantau dan antarabangsa, selain usaha penyelarasan dalam kalangan negara anggota GCC bagi mencari penyelesaian.
Sidang kemuncak itu dihadiri oleh beberapa pemimpin dan pegawai kanan Teluk, termasuk Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa.
Turut hadir Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah, yang mewakili Amir Kuwait Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, bersama Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan.
Pertemuan itu diadakan di tengah-tengah usaha antarabangsa untuk menamatkan peperangan yang sedang berlaku serta menyokong rundingan tidak langsung antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang diusahakan melalui pengantara, Pakistan.
GCC dianggotai oleh Arab Saudi, Kuwait, Emiriyah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain, dan Oman.
Sidang kemuncak perundingan dalam kalangan pemimpin GCC mula dipersetujui pada tahun 1998 sebagai mesyuarat dwitahunan di antara sidang kemuncak biasa, dengan mesyuarat pertama diadakan di Jeddah pada Mei 1999.
