JAKARTA – Memasuki hari kedua, pihak berkuasa Indonesia mengesahkan jumlah korban akibat perlanggaran kereta api di Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat, meningkat kepada tujuh orang, manakala 85 lagi cedera.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Jakarta (BASARNAS), Desiana Kartika Bahari, berkata setakat 7.30 pagi waktu tempatan hari ini, seramai 92 mangsa direkodkan.
Beliau berkata, operasi masih tertumpu kepada usaha mengesan dan mengeluarkan mangsa yang dipercayai masih terperangkap dalam gerabak kereta api.
“Kami terus mengoptimumkan semua anggota BASARNAS bersama elemen mencari dan menyelamat (SAR). Proses pemindahan dilakukan dengan berhati-hati berikutan kerosakan teruk pada gerabak kereta api. Keutamaan kami adalah mengesan dan mengeluarkan semua mangsa secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perlanggaran berlaku lewat semalam apabila sebuah tren komuter yang berhenti di landasan 1 menuju ke Cikarang dilanggar dari belakang oleh tren jarak jauh yang tiba di landasan sama.
Sementara itu, Naib Presiden Komunikasi Korporat Kereta Api Indonesia (KAI), Anne Purba, mengesahkan semua mangsa maut dan cedera adalah penumpang komuter, manakala semua 240 penumpang tren jarak jauh Argo Bromo Anggrek terselamat.
Anne berkata, syarikat berkenaan komited memberikan sokongan penuh kepada mangsa dan keluarga terjejas, termasuk memastikan proses pengendalian dilakukan dengan cepat, teratur dan diselaraskan dengan semua pihak berkaitan.
Usaha pemindahan, katanya, mengambil masa beberapa jam apabila pasukan penyelamat bekerja dengan berhati-hati untuk membantu mangsa terselamat yang masih terperangkap.
Nnn
