284 jemaah haji Malaysia tiba di Madinah

KUALA LUMPUR 18 April – Kumpulan pertama 284 jemaah haji Malaysia bagi musim 1447H/2026 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah, hari ini.

Mereka tiba sekitar pukul 8.21 pagi waktu tempatan dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4.09 pagi (waktu Malaysia).

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan memaklumkan, ketibaan rombongan itu disambut Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman; Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Ridzuan Wahi; Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Radin Adi Hilmi; dan barisan pengurusan kanan serta petugas TH.

Kumpulan jemaah itu kemudian dibawa ke hotel penginapan dan tiba di Hotel Emaar Royal, Madinah, pada pukul 9.45 pagi (waktu tempatan).

Syed Mohamad Bakri dalam kenyataan itu berkata, segala persiapan telah dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan jemaah dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.

“Mewakili Kerajaan Malaysia dan TH, saya ingin merakamkan perasaan syukur atas ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia di Madinah.

Ini adalah hasil perancangan rapi, kerjasama erat dengan pihak berkuasa Arab Saudi, serta komitmen berterusan TH dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan jemaah sentiasa menjadi keutamaan.

“Saya juga melihat petugas TH komited memastikan setiap jemaah bukan saja selesa dari segi kebajikan, malah dibimbing untuk mencapai haji yang mabrur, insya-Allah,” katanya.

Syed Mohamad Bakri berkata, jemaah turut diingatkan agar sentiasa menjaga kesihatan, memperbanyakkan ibadah serta mematuhi segala panduan dan arahan yang ditetapkan sepanjang berada di Tanah Suci.

Sepanjang enam hari di Madinah, jemaah akan mengikuti program yang telah diatur termasuk ziarah ke Masjid Nabawi, Makam Rasulullah SAW, Raudhah serta lokasi-lokasi bersejarah di sekitar Madinah.

TH memaklumkan terdapat dua lagi penerbangan kumpulan jemaah haji akan tiba di Madinah, hari ini, membabitkan seramai 284 jemaah yang dijangka tiba pada pukul 2.10 petang dan 357 lagi pada pukul 9.10 malam waktu tempatan.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia Ke Tanah Suci Bagi Musim Haji 1447H/2026M di KLIA.

Operasi Haji 1447H/2026 yang bermula secara rasmi, hari ini, akan membawa kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia untuk menunaikan ibadah secara berperingkat ke Madinah dan Makkah, menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.

Nnn

Related posts

Leave a Comment