AS,Israel tidak hormat batas kemanusiaan

TEHRAN – Pemimpin Tertinggi Iran Mojtaba Khamenei menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Israel tidak mempunyai sebarang penghormatan terhadap batas kemanusiaan, moral atau nilai kehidupan.

Beliau mengecam apa yang disifatkannya sebagai ‘musuh kejam Amerika dan Zionis’ dalam satu perutusan sempena sambutan Hari Republik Islam ketika perang dengan AS-Israel memasuki minggu kelima.

Dalam surat berkenaan, Mojtaba Khamenei turut mengecam serangan ke atas Sekolah Shajareh Tayyebeh, yang menurut Tehran telah mengorbankan lebih 175 nyawa termasuk kanak-kanak dan guru pada hari pertama serangan ke atas Iran.

Hari Republik Islam merupakan cuti umum kebangsaan di Iran yang menandakan penubuhan negara itu sebagai sebuah republik Islam.

Ia memperingati pengumuman keputusan referendum nasional pada Mac 1979, tidak lama selepas Revolusi Iran yang menjatuhkan pemerintahan Shah.

Sementara itu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menggesa rakyat AS mempersoalkan tujuan perang Washington terhadap negaranya dalam satu surat yang disiarkan oleh Press TV.

Pada masa sama, beliau juga turut menegaskan Iran tidak pernah bertindak agresif.

“Dalam sejarah modennya, Iran tidak pernah memilih jalan pencerobohan, peluasan kuasa, penjajahan atau dominasi,” tulisnya dalam surat berkenaan.

Beliau berkata rakyat Iran tidak menyimpan permusuhan terhadap negara lain termasuk rakyat AS.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment