MIC kekal bersama BN

KUALA LUMPUR 25 Mac – MIC memutuskan untuk kekal bersama Barisan Nasional (BN) susulan perubahan kepemimpinan dalam Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini, kata Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, apabila keputusan untuk meneroka potensi kerjasama dengan PN dibuat semasa Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) parti tahun lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi Pengerusi PN.

Bagaimanapun kata Saravanan MIC perlu menilai semula sentimen masyarakat India sebelum membuat sebarang keputusan, susulan pelantikan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN bulan lalu.

“Pada ketika itu, ahli kami membuat keputusan berdasarkan hubungan kerja jangka panjang MIC dengan Tan Sri Muhyiddin, sejak beliau menjadi Menteri Besar (Johor) hingga ke peranannya dalam kerajaan Persekutuan dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.

Sebagai parti yang mewakili masyarakat India, kami perlu menilai sentimen komuniti itu bagi menentukan sama ada mereka boleh menerima kepemimpinan Pas sebagai satu pilihan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC di sini hari ini.

Saravanan berkata walaupun MIC tidak mempunyai masalah dengan kepemimpinan Pas, perkara yang membabitkan masyarakat India, termasuk isu semasa berkaitan kuil perlu dipertimbangkan dengan teliti.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata MIC kekal terbuka untuk berinteraksi dengan semua pihak sekiranya peluang itu muncul.

Mengulas dakwaan bahawa MIC telah memohon untuk menyertai PN, beliau berkata ia bukan permohonan, sebaliknya satu pertanyaan susulan jemputan yang dikemukakan oleh pemimpin Pas, termasuk Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Kemudian kami ingin mengetahui jika MIC menyertai mereka, memandangkan kami adalah parti India, apakah pilihan yang ada kerana mereka sudah mempunyai sebuah parti India bersama mereka.

“Kami mahukan pilihan sama ada kami akan menjadi ahli baharu atau ahli tetap, yang sepatutnya dijawab oleh mereka dan bukannya terus menerima kami,” katanya.

Related posts

Leave a Comment