TEHRAN – Pembunuhan beberapa pegawai kanan, termasuk ketua keselamatan Ali Larijani, tidak akan menjejaskan struktur politik negara itu, kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi.
Beliau berkata musuh, khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Israel, masih gagal memahami bahawa Republik Islam Iran memiliki sistem politik yang sangat stabil, berakar kukuh, dan disokong oleh institusi politik, ekonomi serta sosial yang mapan.
“Saya tidak tahu mengapa AS dan Israel masih belum memahami perkara ini: Republik Islam Iran mempunyai struktur politik yang kuat dengan institusi yang mantap.
“Kehadiran atau ketiadaan seseorang individu tidak menjejaskan struktur ini,” kata Araghchi dalam wawancara bersama Al Jazeera selepas Iran mengesahkan bahawa Larijani terbunuh dalam serangan udara Israel.
Araghchi turut mengakui bahawa setiap pegawai memainkan peranan penting, ada yang lebih menonjol, ada yang kurang, namun menegaskan bahawa kekukuhan sistem politik Iran tidak bergantung kepada seorang individu.
“Sudah tentu, individu berpengaruh dan memainkan peranan masing-masing. Namun apa yang lebih penting ialah struktur politik Iran adalah struktur yang sangat kukuh,” tambahnya.
Kematian Larijani, antara tokoh keselamatan paling berpengaruh dalam pentadbiran Iran, berlaku dalam gelombang serangan Israel yang turut menyasarkan beberapa pegawai kanan lain.
Serangan itu mencetuskan gelombang kecaman dalam Iran serta meningkatkan lagi ketegangan di rantau tersebut.
Kenyataan Araghchi cuba menampilkan imej sebuah negara yang masih stabil dan berfungsi, meskipun kehilangan beberapa pemimpin tertinggi akibat serangan.
Nnnn
