Bersih tuntut Azam letak jawatan segera

KUALA LUMPUR 6 Mac – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa kerajaan menubuhkan panel bebas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semua tuduhan tertunggak, termasuk dakwaan membabitkan ‘mafia korporat’ dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan, hari ini, berkata panel bebas atau RCI itu perlu diketuai tokoh terkemuka serta dihormati, selain bebas daripada keahlian menteri, penjawat awam dan Peguam Negara, bagi menyiasat semua tuduhan tertunggak terhadap SPRM serta Ketua Pesuruhjayanya,  Azam Baki.

Bersih juga menuntut Azam meletak jawatan dengan segera kerana kehadiran  dan kewujudan beliau dalam SPRM mempunyai konflik kepentingan sangat besar terhadap siasatan yang berjalan terhadap beliau.

“Tidak wajar kredibiliti SPRM terheret bersama Azam,” kata Bersih yang turut mendesak kerajaan mewujudkan satu pelan reformasi menyeluruh, khususnya berkaitan proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang bebas daripada campur tangan Eksekutif.

Namun, katanya, ia tertakluk kepada semakan Parlimen, sekali gus menjamin pelaksanaan kuasa dan tugas SPRM adalah telus serta bertanggungjawab kepada Parlimen.

“Perkara ini pernah dinyatakan dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, Bersih dan rakan-rakan kumpulan masyarakat sivil (CSO) sudah berulang kali mendesak supaya kerajaan melaksanakan reformasi SPRM, sejak kali pertama kerajaan menyambung kontrak Azam pada 12 Mei 2023.

“Ini bukanlah isu yang baru kali pertama berbangkit. Jika Kerajaan Madani, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, gagal menangani isu Azam, ‘mafia korporat’ dan reformasi SPRM ini, dikhuatiri kepercayaan rakyat terhadap usaha-usaha reformasi serta melawan rasuah akan terus terhakis dan runtuh.

“Anwar tidak boleh salahkan Bersih atas kegagalan kerajaan untuk melaksanakan reformasi melawan rasuah ini,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri membidas kenyataan Bersih yang mendakwa SPRM menjadi senjata politik kerajaan dan menegaskan dakwaan tersebut tidak adil kerana kenyataan berkenaan dibuat sebelum laporan rasmi berkaitan diperoleh.

Menurut Anwar semua pihak sepatutnya menunggu laporan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan.

“Itu pandangan Bersih, tetapi tidak adil untuk Bersih membuat kenyataan yang tidak bersih. Nak buat tuduhan, tengoklah laporan dulu, baru bagi jawapan (kenyataan),” kata Anwar.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment